TORONTO: Syarikat penerbangan Amerika Syariat (AS), Delta Air Lines menawarkan pampasan berjumlah AS$30,000 (RM132,903) kepada setiap penumpang yang terlibat dalam nahas ketika mendarat di lapangan terbang Toronto, awal minggu ini.
Menurut jurucakap syarikat itu, pampasan tersebut tidak tertakluk sebarang syarat dan menjejaskan hak penumpang.
Isnin lalu, pesawat Delta Air Lines yang berlepas dari Minnesota, AS mengalami hentakan kuat ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pearson di Toronto sebelum terbalik.
Api dan kepulan asap hitam tebal menyelubungi pesawat Bombardier CRJ-900 itu ketika ia meluncur di atas landasan dalam keadaan terbalik, namun tiada penumpang terkorban.
Delta Air Lines berkata, 21 daripada 80 penumpang mengalami kecederaan dalam nahas itu, tetapi hanya seorang yang masih dirawat di hospital setakat pagi semalam.
Perkhidmatan paramedik melaporkan, pasukan kecemasan merawat pelbagai kecederaan dalam kalangan penumpang, termasuk terseliuh, kecederaan kepala dan kebimbangan melampau.
Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kanada melancarkan siasatan, dibantu oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA), Delta dan Mitsubishi yang membeli barisan pesawat CRJ daripada Bombardier pada 2019.
Beberapa mangsa yang terselamat dalam nahas dilaporkan sedang mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang.
Menurut CBS News, dua mangsa yang bertindak membuka pintu kecemasan untuk membantu penumpang lain menyelamatkan diri, dilaporkan sudah mendapatkan khidmat guaman di firma berpangkalan di Toronto, yang pakar dalam kes penerbangan.
Nahas itu merupakan insiden udara terbaharu di Amerika Utara rentetan beberapa siri kejadian, termasuk pertembungan helikopter tentera AS dan pesawat penumpang di Washington serta nahas pesawat perubatan di Philadelphia yang mengorbankan 74 nyawa.– AFP










