KAMPHAENG PHET: Sebuah trak pikap yang ditemukan terbiar di sebuah rumah usang berdekatan Khlong Khlung, wilayah Kamphaeng Phet, Thailand membongkar kematian tragis tiga beranak, semalam.
Penemuan menggemparkan itu bermula dengan laporan penduduk tempatan yang mengesan bau busuk sejak beberapa hari lalu.
Susulan itu, polis Khlong Khlung menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 11 pagi waktu tempatan, sebelum bergegas ke lokasi kejadian bersama pasukan penyelamat dari Yayasan Penyelamat Sawang Kamphaeng Phet.
Polis mendapati sebuah trak pikap Isuzu D-Max berwarna putih yang diletakkan di hadapan rumah usang konkrit.
Lebih mencurigakan, trak itu ditutup dengan kain putih dan dipenuhi lalat, dan pemeriksaan forensik membawa kepada penemuan memilukan apabila tiga mayat ditemukan di dalam kenderaan berkenaan.
Seorang wanita bersama anak perempuannya berusia tujuh tahun ditemukan dalam keadaan berpelukan di tempat duduk penumpang, manakala seorang lelaki dipercayai bapa kepada kanak-kanak terbabir berada di tempat duduk belakang.
Mangsa dikenal pasti sebagai Wongkorn, 37, isterinya Nantakarn, 35, dan anak mereka yang dikenali sebagai Nong Sunday.
Keluarga ity dilaporkan hilang sejak sebulan lalu, sekali gus menimbulkan pelbagai persoalan mengenai punca kematian dan lebih mencurigakan, polis turut menemukan sebutir peluru yang tidak diketahui asal-usulnya di dalam trak tersebut, menimbulkan spekulasi sama ada kejadian tersebut mempunyai unsur jenayah.
Keluarga terbabit menjalankan perniagaan pakaian dan penyewaan sistem bunyi, namun motif di sebalik tragedi masih belum dapat diketahui.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendedahkan detik terakhir mereka sebelum hilang pada 12 Januari lalu, dengan kelibat Nong Sunday dilihat berada di bahagian belakang trak berkenaan.
Ketika ini, pihak polis Khlong Khlung giat menjalankan siasatan dengan memanggil beberapa individu bagi membantu merungkai misteri kematian tiga beranak berkenaan.– AGENSI










