BUENOS AIRES: Mahkamah Argentina mengeluarkan waran tangkap terhadap ketua junta Myanmar dan bekas pegawai, termasuk pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi, atas dakwaan pembunuhan beramai-ramai serta jenayah kemanusiaan menyasarkan etnik Rohingya.
Keputusan mahkamah itu dikeluarkan sebagai tindak balas kepada aduan yang difailkan di Argentina oleh sebuah kumpulan advokasi Rohingya.
Kes difailkan di bawah prinsip ‘bidang kuasa sejagat’, yang membolehkan negara mendakwa jenayah serius seperti pembunuhan beramai-ramai dan jenayah perang, tanpa mengira di mana ia berlaku.
Dalam keputusan pada Khamis, Hakim Maria Servini berkata, dakwaan disenaraikan dalam aduan merangkumi jenayah hak asasi manusia seperti diiktiraf dalam pelbagai instrumen undang-undang jenayah antarabangsa, yang diterima pakai oleh kebanyakan negara di dunia.
Waran tangkap dikeluarkan terhadap pegawai tentera dan awam, termasuk pemimpin junta semasa, Min Aung Hlaing, bekas Presiden Htin Kyaw dan Suu Kyi, dalam kapasitinya sebagai ‘penasihat negara’ dari 2016 hingga 2021 sebelum digulingkan melalui rampasan kuasa.
Sejak itu, beliau dituduh oleh pengkritik kerana gagal menghentikan penderaan terhadap etnik minoriti Rohingya.
Hlaing juga sedang disiasat oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), manakal Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) meneliti aduan pembunuhan beramai-ramai terhadap Myanmar.
Tindakan undang-undang itu bagaimanapun dikritik oleh junta pemerintah Myanmar dalam kenyataan, semalam.
“Adakah Argentina mengenali Myanmar? Kerajaan Myanmar memang tahu Argentina.
“Kami ingin mencadangkan Argentina untuk melantik terlebih dahulu jawatan hakim yang diperlukan dan masih kosong dalam sistem kehakiman domestik jika mahu mengkritik Myanmar mengikut undang-undang,” kata jurucakap junta, Zaw Min Tun.
Kenyataan Min Tun itu dipercayai merujuk laporan pada Disember lalu bahawa Buenos Aires perlu melantik 150 hakim di semua peringkat badan kehakiman.
Etnik Rohingya, kebanyakannya Islam, berasal dari Myanmar yang didominasi penganut Buddha, di mana menurut Amnesty International, mereka dikenakan sistem menyerupai aparteid.
Bermula 2017, ramai terpaksa melarikan diri daripada penindasan dan keganasan ke Malaysia atau kem pelarian di Bangladesh.
Myanmar terus bergolak sejak rampasan kuasa 2021 sehingga mencetuskan semula pertempuran dengan pemberontak etnik serta membawa kepada pembentukan puluhan ‘Pasukan Pertahanan Rakyat’ yang kini berjuang menentang junta.- AFP










