PETALING JAYA: Perbincangan mengenai Kepengerusian ASEAN 2025 menjadi fokus utama Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, Brunei, semalam.
Menurut Perdana Menteri, dalam perbincangan itu beliau mendapatkan nasihat dan panduan daripada Sultan Brunei.
Katanya, ini kerana selaku pemimpin paling senior, Sultan Brunei mempunyai pengalaman dan pengetahuan luas dalam kalangan pemimpin ASEAN lain.
“Antara disentuh adalah terkait situasi di Myanmar, yang mana walaupun negara itu terikat dengan Konsensus Lima Perkara, namun segala ikhtiar harus digerakkan untuk meneruskan proses penglibatan dengan semua pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Turut menyertai sesi tersebut adalah bekas Perdana Menteri Thailand merangkap Ketua Kumpulan Penasihat Tidak Rasmi Kepada Pengerusi ASEAN 2025, Thaksin Shinawatra.
Anwar turut menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan masalah yang berpunca daripada ekonomi atau pasaran gelap, didominasi oleh penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia, serta penipuan dalam talian atau scam yang berleluasa.
“Kami turut membincangkan solusi terbaik untuk mencapai trajektori positif dalam usaha menyelesaikan krisis di Myanmar serta memastikan semua Menteri Luar negara ASEAN sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan ini,” katanya.
Jelas Anwar, perbincangan turut membincangkan solusi terbaik untuk mencapai trajektori positif dalam usaha menyelesaikan krisis di Myanmar serta memastikan semua Menteri Luar negara ASEAN sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan itu. – UTUSAN











