Tiada pengesahan rasmi tahanan rumah Najib di Langgak Duta

Tiada pengesahan rasmi tahanan rumah Najib di Langgak Duta

PETUGAS-petugas media berada di kediaman Najib Razak di Langgak Duta, di sini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis masih belum menerima sebarang pengesahan rasmi berhubung kemungkinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta, di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam berkata, penugasan anggota di kawasan berkenaan juga masih kekal seperti yang diumumkan semalam.

“Tiada pertambahan anggota kerana kita masih belum menerima sebarang maklumat.

“Sekiranya ada perkembangan atau maklumat terkini yang mengesahkan tahanan rumah Datuk Seri Najib di Langgak Duta, kita akan menambah kekuatan anggota,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ditanya sama ada pihaknya menerima sebarang pengesahan mengenai bila Najib akan dipindahkan dari penjara, Anuar Bakri berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat berhubung perkara itu.

“Belum lagi. Pihak saya belum menerima sebarang maklumat,” katanya.

Anuar Bakri semalam dilaporkan berkata sebuah balai polis bergerak akan ditempatkan berhampiran kediaman Najib di Langgak Duta bermula pukul 7 pagi hari ini sebagai persediaan keselamatan sekiranya berlaku pemindahan bekas Perdana Menteri itu dari penjara.

Beliau berkata, penempatan balai polis bergerak itu bertujuan memudahkan kawalan keselamatan sepanjang proses pemindahan, selain mengurus kehadiran media tempatan dan asing serta penyokong, termasuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Bagaimanapun, beliau menegaskan penempatan balai polis bergerak itu bukan bagi menyediakan kawalan keselamatan terhadap Najib secara 24 jam.

Menurutnya, tanggungjawab memantau Najib sepanjang menjalani tahanan rumah adalah di bawah Jabatan Penjara, manakala polis membantu urusan pergerakan dan memastikan keselamatan sepanjang proses berkenaan.

Sebelum ini, empat pegawai Jabatan Penjara turut hadir ke kediaman Najib di Langgak Duta bagi menjalankan pemeriksaan dan penilaian.

Jumaat lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberi pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar dilaporkan berkata, Najib perlu terlebih dahulu membayar denda RM50 juta di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum proses tahanan rumah boleh dilaksanakan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×