Dua Tanah Haram tidak boleh jadi medan pertarungan – Ahmad Zahid

Dua Tanah Haram tidak boleh jadi medan pertarungan – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kesucian dan keselamatan Makkah al-Mukarramah serta Madinah al-Munawwarah perlu menjadi keutamaan dalam menghadapi sebarang konflik dan perselisihan politik atau ketenteraan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kedua-dua Tanah Haram itu perlu kekal terpelihara daripada sebarang bentuk konflik, ancaman mahupun tindakan ketenteraan.

Katanya, pendirian itu tidak berubah tanpa mengira dari mana datangnya ancaman atau pihak yang berada di belakangnya.

“Saya menolak dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang tindakan yang boleh mengancam keselamatan orang awam, para jemaah haji dan umrah serta tetamu Allah, atau mencemarkan dua tempat suci umat Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid berkata, Malaysia menghormati kedaulatan, keselamatan dan keutuhan wilayah Kerajaan Arab Saudi serta menghargai hubungan persaudaraan erat yang sekian lama terjalin antara kedua-dua negara.

Menurut beliau, kesucian Dua Tanah Haram tidak boleh dijadikan medan pertarungan atau bahan pertaruhan walau sebesar mana sekalipun perselisihan politik atau ketenteraan yang berlaku.

“Saya menyeru seluruh umat Islam supaya bersatu dan bersolidariti mempertahankan kesucian Dua Tanah Haram, melangkaui perbezaan politik dan sempadan negara,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar Allah SWT terus memelihara Penjaga Dua Tanah Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud serta mengurniakan kesihatan dan kesejahteraan kepada baginda.

Ahmad Zahid juga mendoakan agar Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud terus dilindungi dan diberikan taufik, selain kesejahteraan buat seluruh rakyat negara itu.

“Semoga Allah SWT terus memelihara Kerajaan Arab Saudi, mengurniakan keamanan, kestabilan dan kemakmuran kepadanya serta melindungi Dua Tanah Haram dan seluruh tetamu Allah daripada segala ancaman dan keburukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×