Rosmah terharu sahabat dari luar negara menyumbang untuk Najib - Utusan Malaysia

Rosmah terharu sahabat dari luar negara menyumbang untuk Najib

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menzahirkan rasa syukur atas kesudian rakan-rakannya dari luar negara untuk memberikan sumbangan bagi membantu Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, rakan-rakannya dari Brunei, Itali, Singapura dan beberapa negara lain termasuk Kanada telah menghubunginya susulan bagi memberikan sumbangan untuk membantu suaminya.

“Mereka menghubungi saya untuk menyatakan kegembiraan terhadap perkembangan terkini mengenai Datuk Seri Najib, di samping menyatakan hasrat untuk memberikan sumbangan.

“Mereka hanya mahu melihat Datuk kembali bersama keluarga. Itu sahaja.

“Saya tidak pernah menyangka begitu ramai yang masih mengambil berat dan sanggup tampil membantu dengan penuh keikhlasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rosmah berkata, perkembangan itu membuatkan beliau sedar akan sahabat yang tetap bersama keluarganya ketika berhadapan kesusahan.

“Hari ini, saya sedar siapa sahabat yang sentiasa bersama kami ketika susah dan senang,” katanya.

Setakat 19 September lalu, Tabung Solidariti Najib Razak mencatatkan kutipan sebanyak RM1 juta.

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di media sosial.

Tabung Solidariti Najib Razak dilancarkan oleh UMNO bagi membantu Najib membayar denda RM50 juta untuk membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda dan syarat ditetapkan.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali Ke-64 di Istana Negara.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri sebelum ini memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×