‘Allah pinjamkan Hud Aryan 19 bulan’

‘Allah pinjamkan Hud Aryan 19 bulan’

JENAZAH Hud Aryan Mohd. Nur Hafifi dibawa masuk ke liang lahad untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Tiga, Tanah Merah, Kelantan, semalam. – UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Pasangan suami isteri reda dengan pemergian anak tunggal mereka Hud Aryan Mohd. Nur Hafifi yang ditemukan lemas di celahan pokok selepas Allah memberikan tanggungjawab selama 19 bulan untuk menjaga kanak-kanak tersebut.

Bapa kepada arwah Hud Aryan Mohd. Nur Hafifi Saidi, 34, berkata, dia dan isteri, Azean Nur Atikah Ramley, 34, reda dengan pemergian arwah anaknya kerana Allah lebih menyayanginya.

“Alhamdulillah, urusan pengebumian arwah Hud Aryan berjalan dengan lancar sehingga ke liang lahad.

“Saya dan keluarga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama kepada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang membantu mencari arwah Hud Aryan,” katanya kepada pemberita selepas pengkebumian arwah Hud Aryan semalam.

Jenazah Hud Aryan Mohd. Nur selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Tiga di sini pada pukul 2 pagi selepas disolatkan oleh penduduk kampung di Masjid Mukim Kuala Tiga.

Seramai hampir 100 orang termasuk ahli keluarga hadir untuk mengiringi jenazah kanak-kanak berusia setahun tujuh bulan itu ke tanah perkuburan.

Sebelum ini, media melaporkan jasad Hud Aryan yang hilang di rumah neneknya di Kampung Aira, Kuala Tiga, Isnin lalu akhirnya dijumpai lemas selepas dihanyutkan arus ke Sungai Kerilla dekat sini kira-kira pukul 4.15 petang semalam.

Mayat itu dijumpai lengkap berpakaian oleh anggota bomba kira-kira tiga kilometer dari rumah neneknya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Mohd. Zulkifli Osman berkata, mangsa ditemukan tersangkut celah pokok di dalam sungai berkenaan dan tiada sebarang kecederaan ditemui pada anggota badan kanak-kanak itu.

Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pihaknya akan mengambil keterangan terhadap ibu dan bapa kepada Hud Aryan yang ditemukan lemas selepas tersangkut atas pokok kawasan Sungai Kerilla, Tanah Merah kelmarin.

Beliau berkata, siasatan itu untuk melihat samada berlaku kecuaian atau tidak dalam kes berkenaan.

“Untuk makluman, hasil bedah siasat malam semalam mendapati tiada sebarang unsur jenayah pada mayat mangsa,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan ketika diminta mengenai kejadian itu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN