PETALING JAYA: Penganjur konsert dan Pengarah Urusan SAH Entertainment, Sufi Rashid, berpendapat cadangan melakukan ujian saringan air kencing sebagai prosedur operasi standard menghadiri konsert di Selangor sebagai membebankan.
Bukan memperkecilkan usaha Kerajaan Selangor, namun Sufi berpendapat prosedur tersebut akan memakan masa yang lama khususnya untuk konsert yang dihadiri puluhan ribu pengunjung.
“Ia bukan sahaja membebankan penganjur malah turut memberi kesan terhadap pengawalan orang ramai apalagi jika konsert itu melibatkan puluhan ribu pengunjung.
“Bayangkan berapa masa yang diperlukan untuk seorang individu melakukan saringan. Ia semestinya membuatkan penganjur tidak selesa,” katanya.
Sufi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan Kerajaan Selangor melakukan ujian air kencing bagi mengelakkan sebarang pengambilan dadah di konsert.
Oleh itu, Sufi mencadangkan agar syarat asas dilaksanakan seperti biasa iaitu tidak membenarkan pengunjung membawa apa-apa barangan selain telefon bimbit ke ruang acara.
“Bagi saya paling terbaik, kita pergi kepada asas di mana kita haramkan pembawaan air minuman, kamera dan beg. Di konsert kami, rokok pun kami tak benarkan bawa masuk.
“Ada banyak cara lain yang boleh diteroka berbanding adakan ujian air kencing.
“Kadangkala saya rasa kita kena pergi kepada asas untuk elakkan perkara sebegini berlaku,” tambahnya.
Bagi penyanyi dan komposer, Ajai pula gusar sekiranya pelaksanaan SOP tersebut akan memberi kesan terhadap penjualan tiket.
“Tidak salah mahu adakan SOP sebegitu, cuma kita pengunjung rasa terbeban sekali gus melambatkan proses jualan tiket.
“Bayangkan, beban yang pembeli tiket terpaksa hadapi apabila terpaksa membuat ujian air kencing sebelum menghadiri konsert.
“Prosedur ini mungkin bersesuaian dilakukan di kelab malam atau acara yang tidak melibatkan ribuan pengunjung. Kalau jumlah pengunjung yang ramainya berpuluh ribu seperti konsert Datuk Siti Nurhaliza bagaimana?” katanya.
Susulan daripada insiden kematian akibat dadah selepas konsert, Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Ng Suee Lim berkata, kerajaan negeri itu mengesyorkan ujian air kencing dijadikan sebagai antara prosedur operasi standard (SOP) kepada semua pengunjung konsert.










