Tempahan inap desa di Langkawi turut perlahan

Tempahan inap desa di Langkawi turut perlahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Penyedia penginapan inap desa di pulau peranginan ini masih mengharapkan kunjungan pelancong tempatan untuk menghabiskan musim cuti persekolahan bersama keluarga di Langkawi.

Ini berikutan, tempahan inap desa mereka terima setakat ini, hanya sekitar 50 peratus biarpun cuti persekolah turut membabitkan cuti umum Israk Mikraj dan sambutan Tahun Baharu Cina pada penghujung bulan ini.

Timbalan Pengerusi Persatuan Inap Desa Langkawi, Abdul Jamil Ali berkata, tempahan diterima dianggap sangat perlahan jika dibandingkan dengan musim cuti yang sama sebelum ini kerana ketika itu mereka sudah menerima tempahan awal daripada pelanggan.

ABDUL JAMIL ALI

“Banyak faktor yang menyebabkan keadaan ini berlaku antaranya cuti sekolah yang panjang menyebabkan ada ibu bapa memilih untuk bercuti pada hujung-hujung sebelum sekolah dibuka semula bulan depan.

“Selain itu, kekerapan perjalanan feri juga boleh mempengaruhi tempahan kerana ia adalah pengangkutan utama dari tanah besar untuk ke Pulau Langkawi di samping menggunakan penerbangan.

“Malah, ada juga yang berpendapat cuti sekolah ini adalah cuti hujung penggal, jadi mereka mahu menyimpan sedikit wang belanja sebagai persediaan untuk buka sekolah nanti kerana ada anak-anak yang baru melangkah ke tahun satu atau tingkatan satu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Akhbar ini melaporkan, permintaan feri ke Pulau Langkawi dari terminal Kuala Kedah dan Kuala Perlis menjelang cuti perayaan Tahun Baharu Cina masih perlahan.

Pengurus Operasi Langkawi Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata, jualan tiket termasuk dalam talian masih kurang memberangsangkan berbanding tahun lalu yang ketika itu ditempah dua minggu sebelum cuti.

Bagaimanapun, Abdul Jamil masih menaruh keyakinan angka tempahan inap desa yang melibatkan kira-kira 80 unit di bawah persatuan itu akan meningkat menjelang cuti perayaan itu kelak.

“Ada juga trend tempahan pelanggan saat-saat akhir di mana mereka sampai dulu ke Langkawi dan mahu melihat suasana inap desa sebelum meneruskan tempahan. Kita ada banyak ahli yang sedia menawarkan unit masing-masing dengan pengalaman tersendiri.

“Ada yang berlatar belakangkan sawah padi, bukit-bukau dan berdekatan pantai yang sering menjadi pilihan termasuk di dalam kawasan kampung-kampung untuk merasai keunikan di setiap tempat,” katanya.

Sementara itu, pemandu pelancong, Muhammad Zulkarnain Husin berharap penganjuran mesyuarat ASEAN yang bermula minggu lalu sehingga Oktober akan turut menarik minat pelancong tempatan dan antarabangsa bercuti di pulau lagenda itu.

“Impak penganjuran acara bertaraf antarabangsa itu bagus untuk kesinambungan pelancongan di Langkawi dan kita mengharapkan pelancong tempatan yang kini anak-anak mereka sedang bercuti sekolah dapat datang ke sini.

“Kita ada pelbagai aktiviti menarik untuk dilakukan di Langkawi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×