GAZA: Sayap bersenjata Hamas, Briged Al-Qassam menegaskan pasukannya sentiasa menerapkan kepada pejuang untuk memperlakukan tebusan Israel di Gaza dengan penuh kemanusiaan mengikut ajaran Islam.
Tindakan itu berbeza dengan Israel yang berterusan berusaha mencederakan tahanan dan rakyat Palestin.
Ahli majlis ketenteraan Al-Qassam, Ezzadine Al-Haddad berkata, kumpulannya merancang dengan teliti operasi penangkapan warga Israel, memastikan mereka dilindungi daripada musuh serta teknologi canggih.
“Kami memberi arahan untuk sentiasa memperlakukan tawanan musuh dengan kemanusiaan, mengikut ajaran Islam.
“Kami melindungi nyawa mereka dan memastikan tebusan diberi layanan yang sewajarnya,” katanya dalam program televisyen oleh saluran Al Jazeera, kelmarin.
Panglima tentera itu menuduh Israel sebenarnya mahu membunuh tebusan sejak hari pertama operasi kerana terus menyasarkan mereka sehingga kini.
Program bertajuk ‘The Hidden is More Immense’, membincangkan butiran mengenai operasi Taufan Al-Aqsa oleh Hamas pada 7 Oktober 2023.
Ia menyiarkan rakaman eksklusif pemimpin Hamas, Yahya Sinwar, yang dibunuh oleh Israel pada Oktober tahun lalu.
Semasa serangan itu, kumpulan pejuang Palestin terutama Briged Al-Qassam berjaya menangkap 251 warga Israel, kebanyakan adalah anggota tentera.
Gencatan senjata yang bermula minggu lalu, menghentikan serangan hebat Israel terhadap Gaza sejak 7 Oktober 2023 sehingga meragut lebih 47,000 nyawa rakyat Palestin.
Perjanjian tiga fasa itu termasuk pertukaran tahanan dan keamanan berterusan, bertujuan untuk gencatan senjata kekal serta pengunduran pasukan Israel dari Gaza.
Serangan itu menyebabkan Gaza berubah seperti ‘padang jarak’, dengan penduduk terpaksa berpindah secara dalaman dan terdedah kepada pelbagai penyakit.– ANADOLU










