PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) diminta mempertimbangkan cadangan untuk menambah waktu pengajaran di kelas terutama bagi subjek Bahasa Inggeris.
Pakar Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, ia sesuai dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyeru anak muda untuk menguasai bahasa itu bagi membuka peluang kepada anak Malaysia supaya mendapat tempat dalam syarikat multinasional.
“Tidak dapat dinafikan, kepentingan bagi semua pelajar untuk menguasai Bahasa Inggeris dan bertutur dalam subjek itu sangat diperlukan pada masa kini.
“Jadi dengan menambahkan waktu pengajaran subjek Bahasa Inggeris ini, ia akan memberi lebih masa kepada guru dan membantu anak murid menguasai subjek itu dengan lebih berkesan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, Anwar mahu generasi muda mengambil inisiatif sendiri dengan mula menguasai pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris dan Cina pada masa ini.
Keberanian untuk melakukan perubahan itu penting memandangkan kedua-dua bahasa tersebut diperlukan bagi menguasai ekonomi dunia.
Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Salleh Amat berkata, penguasaan graduan dalam bahasa asing seperti Mandarin akan memberi kelebihan kepada mereka apabila memasuki alam pekerjaan.
“Menguasai bahasa asing adalah satu kelebihan kepada graduan dalam persaingan antarabangsa, selain dari penguasaan Bahasa Inggeris.
“Oleh itu, kerajaan juga perlu memberi galakan seperti insentif untuk menarik minat pelajar untuk mempelajari Bahasa Mandarin juga,” katanya.
Katanya, tidak dapat dinafikan, Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan namun itu tidak menjadi penghalang untuk mempelajari bahasa asing tanpa perlu melupakan. – UTUSAN










