PETALING JAYA: Rakyat negara ini tidak boleh melihat Kecerdasan Buatan (AI) sebagai satu bentuk ancaman sebaliknya teknologi itu perlu dikuasai jika tidak mahu ketinggalan.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Pengkomputeran Kolej Pengajian, Pengkomputeran, Informatik dan Matematik UiTM Shah Alam, Profesor Madya Dr. Shuzlina Abdul Rahman berkata, teknologi AI bukanlah satu ancaman sebaliknya satu peluang yang perlu dimanfaatkan secara positif.
Katanya, suka atau tidak, teknologi ini akan terus dibangunkan, berintegrasi dan berasimilasi dengan kehidupan masyarakat dalam masa yang sangat singkat.
“Jika seseorang itu menolak teknologi ini secara menyeluruh, maka dia akan sentiasa ketinggalan dan tidak dapat menyerlahkan potensi diri.
“Walaupun kita dapat melihat beberapa syarikat mula mengurangkan pekerja untuk diganti dengan teknologi AI, kira perlu sedar sentuhan manusia masih diperlukan untuk mendapat hasil terbaik dan berkualiti,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Katanya, beliau percaya trend itu akan berkurangan apabila umum semakin sedar tentang keperluan manusia untuk memastikan AI dapat menjalankan kerja dalam skop yang ditetapkan.
“Sebagai contoh, sesuatu pekerjaan yang dibantu oleh teknologi AI dapat memberi banyak kebaikan dan kelebihan, namun hasil akhirnya akan menjadi tidak terkawal tanpa seliaan manusia.
“Kebanyakan hasil akhir yang dijana oleh AI, jika tidak dikawal selia dengan baik akan menjadikan hasil yang tidak organik dan tampak palsu,” katanya.
Tambahnya, penggunaan AI dapat membantu melancar dan mempercepatkan pelaksanaan sesuatu pekerjaan selain meningkatkan produktiviti kerana kerja berbentuk rutin dan automasi mengambil masa amat Panjang.
“Tetapi kerja-kerja yang lebih kompleks yang memerlukan kreativiti boleh diberi ruang dan masa lebih lama untuk diperhalusi. Bagaimanapun, satu pendekatan seimbang penting dalam mengintegrasikan teknologi AI supaya kita dapat memaksimumkan penggunaannya serta mengurangkan cabaran dan isu akibat penyalahgunaannya,” katanya.
Namun bagi pensyarah Fakulti Pengkomputeran Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Prof. Madya Dr. Mohd. Arfian Ismail, beliau melihat penggunaan AI secara meluas di masa akan datang berpotensi mengancam tenaga kerja tempatan.
Katanya, ancaman itu bergantung kepada sejauh mana negara dan tenaga kerja bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.
“Kesimpulannya, AI boleh menjadi ancaman kepada tenaga kerja rakyat tempatan jika perubahan ini tidak diurus dengan baik, terutamanya dalam menggantikan pekerjaan yang kurang berkemahiran.
“Namun, AI juga boleh menjadi peluang besar untuk mencipta pekerjaan baharu, meningkatkan produktiviti dan memperkasakan tenaga kerja tempatan jika kerajaan, syarikat serta rakyat bersedia melibatkan diri secara aktif dalam ekonomi digital.
“Oleh itu, kesiapsiagaan dan penyesuaian adalah kunci untuk mengimbangi manfaat dan cabaran AI,” katanya.
Terdahulu, Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan kira-kira 600,000 pekerja di negara ini bakal hilang pekerjaan dalam tempoh 10 tahun akan datang jika tidak menguasai teknologi AI.
Berdasarkan kajian TalentCorp pekerja dalam sektor IT, komunikasi, pembuatan farmaseutikal, pembuatan dan perkhidmatan makanan, perniagaan borong dan runcit, perniagaan perkhidmatan global, kewangan, perkhidmatan pelanggan dan logistik dijangka terkesan.










