KUALA KANGSAR: Menghasilkan lukisan potret karikatur pada harga serendah RM10 merupakan usaha seorang pemuda di sini untuk mencari pendapatan.
Hampir setiap hari Muhammad Abdul Rahim Mohd. Sufaizal, 23 tahun, akan berada di dataran Lembah Kuala Kangsar bagi menawarkan lukisan kepada pengunjung yang beriadah atau singgah makan.
Dia malah berbasikal hampir 10 kilometer setiap hari berulang-alik dari rumahnya ke tempat tumpuan tersebut atau menaiki teksi atau bas jika cuaca hujan.
“Saya minat melukis dari zaman sekolah. Saya cuba memberanikan diri menjadi pelukis jalanan sejak tahun 2021. Sejak itu saya mula menyertai komuniti pelukis jalanan dan belajar daripada orang lama,” katanya dikenali sebagai Angah Rahim.
Katanya, meskipun pendapatan tidak menentu, dia tetap berpuas hati apabila dapat mempamerkan kemahiran dan karyanya di tempat awam.
Jelasnya, selain menawarkan khidmat lukisan di tempat tumpuan ramai, dia turut mengambil tempahan potret karikatur daripada pelanggan menerusi pesanan bergambar yang dihantar kepadanya.
“Saya cuba mempromosikan diri menerusi media sosial. Malah saya membuat sepanduk untuk mengiklankan khidmat saya,” katanya.
Muhammad Abdul Rahim melihat karier sebagai pelukis jalanan mempunyai potensi dan permintaan terutama lukisan berbentuk potret karikatur.
Dia menjadikan idola pelukis jalanan popular dari Republik Dominika, Alani Jimenez yang kerap mempamerkan lukisannya laman media sosial.
“Saya harap boleh mendapat peluang dan tempat untuk menyertai program-program orang ramai supaya dapat mengembangkan kemahiran, lukisan selain mencari pendapatan,” katanya. – UTUSAN











