NAYPYIDAW: Kerajaan junta Myanmar akan membebaskan hampir 6,000 banduan, sebagai sebahagian daripada pengampunan tahunan sempena hari kemerdekaan negara itu.
Tentera menangkap beribu-ribu penunjuk perasaan dan aktivis sejak rampasan kuasa pada Februari 2021 dan menjerumuskan negara ke dalam pergolakan.
Junta dalam kenyataan semalam memaklumkan, 5,864 banduan, termasuk 180 warga asing, akan dibebaskan sempena kemerdekaan ke-77 Myanmar daripada penjajahan British.
Bagaimanapun, ia tidak memberikan butiran mengenai kesalahan banduan atau kewarganegaraan tahanan asing yang akan dihantar pulang selepas dibebaskan.
Tentera mendakwa, pengampunan itu dibuat atas dasar kemanusiaan dan belas kasihan.
Junta turut mengumumkan 144 banduan yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup akan diringankan hukuman kepada 15 tahun.
Myanmar kerap memberikan pengampunan kepada beribu-ribu banduan untuk memperingati hari cuti atau perayaan Buddha.
Tahun lepas, junta mengumumkan pembebasan lebih 9,000 banduan sempena hari kemerdekaan.
Majlis tahun hari kemerdekaan yang diadakan di Naypyidaw semalam, dihadiri oleh kira-kira 500 orang daripada kalangan kerajaan dan tentera.
Ucapan ketua junta, Min Aung Hlaing, yang tidak hadir pada majlis tersebut, disampaikan oleh timbalan ketua tentera, Soe Win.– AFP










