WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Joe Biden secara tidak rasmi memberitahu Kongres Amerika Syarikat (AS) mengenai cadangan penjualan senjata bernilai AS$8 bilion (RM36 bilion) kepada Israel.
Menurut laporan Axios yang memetik dua sumber, penjualan senjata itu merangkumi peluru untuk jet pejuang dan helikopter serang.
Perjanjian itu memerlukan kelulusan daripada jawatankuasa Dewan dan Senat, serta merangkumi peluru artileri dan peluru berpandu udara ke udara untuk mempertahankan diri daripada ancaman seperti dron.
“Presiden menjelaskan bahawa Israel berhak untuk mempertahankan rakyatnya, selaras dengan undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan serta menghalang pencerobohan Iran serta proksi mereka,” kata seorang pegawai AS kepada Axios.
Laporan itu mendakwa, pakej tersebut turut merangkumi bom diameter kecil dan kepala peledak.
Usaha diplomatik setakat ini gagal menamatkan perang Israel selama 15 bulan di Gaza.
Biden dijadualkan meninggalkan jawatannya pada 20 Januari, apabila Donald Trump secara rasmi mengangkat sumpah jawatan Presiden AS.– REUTERS










