AS beku semua bantuan asing kecuali untuk Israel, Mesir

AS beku semua bantuan asing kecuali untuk Israel, Mesir

ASKAR Israel berkawal ketika peneroka Yahudi melawat pasar lama di bandar Hebron di Tebing Barat, pada 28 Disember 2024.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS), selaku penderma terbesar dunia, membekukan hampir semua bantuan asing kelmarin, kecuali bagi bantuan makanan kecemasan serta pembiayaan ketenteraan untuk Israel dan Mesir.

Setiausaha Negara, Marco Rubio mengeluarkan memo dalaman beberapa hari selepas Presiden Donald Trump memegang jawatan, dengan ikrar melaksanakan dasar ‘America First’ yang mengetatkan bantuan ke luar negara.

“Tiada dana baharu akan diperuntukkan bagi pembiayaan baharu atau lanjutan pembiayaan sedia ada sehingga setiap cadangan atau lanjutan disemak dan diluluskan,” menurut memo itu.

Perintah menyeluruh itu dilihat menjejaskan segala sudut, daripada bantuan pembangunan hingga ketenteraan termasuk kepada Ukraine, yang sebelum ini menerima berbilion dolar di bawah Presiden terdahulu, Joe Biden dalam usaha menangkis pencerobohan Russia.

Arahan itu juga bermaksud jeda selama sekurang-kurangnya beberapa bulan bagi pembiayaan AS untuk PEPFAR, inisiatif anti-HIV/AIDS yang membeli ubat anti retroviral bagi merawat penyakit itu di negara membangun, terutama Afrika.

Dilancarkan di bawah Presiden George W. Bush pada 2003, PEPFAR dikreditkan kerana menyelamatkan kira-kira 26 juta nyawa dan sehingga kini menikmati sokongan bipartisan yang meluas di Washington.

Wakil daripada Parti Demokrat di Jawatankuasa Perhubungan Luar Dewan, Gregory Meeks berkata, lebih 20 juta orang bergantung kepada ubat melalui PEPFAR dan 63 juta orang pada usaha anti malaria yang dibiayai AS.

“Selama bertahun-tahun, Republikan di Kongres mengkritik apa yang mereka lihat sebagai kekurangan kredibiliti AS terhadap negara seperti China, Russia dan Iran.

“Sekarang kredibiliti kita sedang dipertaruhkan, dan nampaknya kita akan memutuskan komitmen Amerika kepada rakan kongsi di seluruh dunia,” tulisnya dalam satu surat.

Namun, memo itu secara jelas mengecualikan bantuan ketenteraan kepada Israel menerusi pakej senjata terbesar dalam sejarah sejak perang Gaza, dan Mesir yang menerima sejumlah besar pembiayaan pertahanan sejak ia menandatangani perjanjian damai dengan Tel Aviv pada 1979.

Rubio turut mengecualikan untuk sumbangan AS kepada bantuan makanan kecemasan, yang disumbangkan Washington berikutan krisis di seluruh dunia termasuk Sudan dan Syria.

Washington sekian lama menggunakan bantuan sebagai alat dasar luar negaranya, konon ia mengambil berat tentang pembangunan dan cuba membezakan negara itu dengan China yang lebih mementingkan sumber semula jadi.– AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN