PETALING JAYA: Penyanyi, Man Bai, berpendapat walaupun Aina Abdul memiliki bakat nyanyian luar biasa, namun itu belum cukup membuatnya diingati.
Tambah Man Bai atau Abdul Rahman Osman, 57, Aina perlu mempunyai ‘killer song’ iaitu lagu malar segar yang boleh bertahan dalam jangka masa panjang.

“Dalam industri, seorang penyanyi perlu ‘killer song’. Saya suka penyanyi baharu seperti Aina Abdul dan Ernie Zakri kerana mereka sangat berbakat dan bagus. Saya hormati mereka.
“Cuma Ernie mungkin sedikit bertuah kerana ada lagu Masing Masing ciptaan Ade Govinda. Jika tidak, orang hanya tahu namanya.
“Seperti Aina, saya tidak tahu apa lagu hit dia. Hanya tahu namanya,” katanya.
Man Bai berkata demikian ketika mengulas mengenai kepentingan penyanyi hari ini menghasilkan sebuah produk malar segar yang bakal bertahan hingga generasi seterusnya.
Penyanyi Kau Ilhamku itu mencadangkan agar pemenang Anugerah Juara Lagu ke-37 itu bergaul dengan lebih ramai komposer berbakat yang boleh memberikannya sebuah lagu fenomena.
“Dia (Aina) kena bercampur dengan komposer hebat yang boleh memberikannya lagu sedap.
“Bagaimana mahu tahu lagu itu sedap? Kalau dulu, bila dapat demo, jika bulu roma kita naik, itu petanda lagu itu akan menjadi.
“Sekarang tidak semua mahu lagu hit, hanya mahu lagu jadi runut bunyi drama. Ia belum cukup. Sebab lagu ‘ost’ hanya didengar sebelum drama bermula. Selepas itu orang mahu fokus cerita,” jelasnya.










