KLUANG: Cuaca cerah sejak dua minggu lalu membolehkan ramai kaki pancing melempiaskan ‘gian’ di Sungai Kahang, dekat sini yang terkenal sebagai lubuk udang galah.
Jika sebelum ini mereka terpaksa melupakan seketika hobi memancing apabila air sungai naik sehingga melimpahi tebing pada November lalu, kini paras air sungai kembali surut dan mereka tidak melepaskan kesempatan yang ada.
Pemancing, Firdaus Yusuf, 41, berkata, November dan Disember pada kebiasannya waktu ‘cuti’ bagi pemancing udang galah di Sungai Kahang, namun keadaan cuaca yang baik kira-kira dua minggu membolehkan aktiviti memancing dijalankan seperti biasa.
“Semalam dan hari ini, lebih 30 pemancing memenuhi Sungai Kahang dan keadaan itu dijangka berlarutan hingga minggu depan jika keadaan cuaca mengizinkan dan tidak berlaku banjir,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Firdaus yang juga pesara tentera mengakui dapat menaikkan antara tiga hingga lima kilogram udang galah setiap kali turun memancing, sekali gus memperoleh pendapatan sampingan agak lumayan, apabila ia dijual pada harga RM80 sekilogram kepada peraih.
Philip Leos, 40, turut tidak melepaskan peluang memancing udang galah di sungai berkenaan.
“Hobi ini sebagai usaha mencari wang tambahan selepas bersara dan bila ada peluang kami akan turun ke sungai selama dua hari, khususnya pada cuti hujung minggu,” kata pesara perkhidmatan ketenteraan ini. – UTUSAN








