Putrajaya ‘lubuk’ udang galah?

Putrajaya ‘lubuk’ udang galah?

udang galah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“AWAK biar betul, mana ada lubuk udang galah di Putrajaya!”

Bergaduh sekejap penulis dengan rakan jurugambar yang kebetulan sudi membantu membidik foto untuk ruangan makan-makan tempoh hari.

Mana tidaknya, berkali-kali dia cuba membetulkan informasi yang diterima dan katanya jika udang galah yang ingin dicari, Putrajaya bukan tempatnya.

Sempat juga dia menyindir, kalau mahu mencari Pak Menteri atau pegawai kerajaan, barulah betul.

Membiarkannya bersungguh melempar logik, semua kata-kata itu terpaksa ditelan lekas saat menjejakkan kaki ke sebuah restoran yang letaknya strategik di tasik Putrajaya di kawasan presint 5.

Terang-terangan tertera nama D’Empangan Udang Galah, restoran yang diusahakan oleh Bakhtiar Anuar Md. Amin, 47, ini menjadikan udang galah sebagai menu utama dan istimewa di situ.

Kongsi Bakhtiar, restoran yang diusahakan bersama rakan niaganya, Zulfadly Muhammad, 42, itu sudah beroperasi 4 tahun lepas dan sentiasa menerima pengunjung tidak cuma di sekitar Putrajaya, malah dari luar kawasan.

“Sememangnya pengunjung yang datang tidak akan melepaskan peluang untuk mencuba pelbagai masakan berasaskan udang galah.

“Di sini, kami sediakan udang galah dalam pelbagai saiz dan tentunya disediakan dengan cara tersendiri daripada tukang masak terbaik,” katanya.

Menurut Bakhtiar, dia merasa bertuah kerana D’ Empangan adalah satu-satunya restoran udang galah yang terletak di kawasan tersebut dengan tambahan bonus, berlatarbelakangkan keindahan dan kedamaian Tasik Putrajaya.

Nilai tambah itu juga adalah antara faktor mengapa restorannya sering menjadi tumpuan ramai kerana selain menghidangkan makanan dengan rasa yang berkelas A, ia juga ‘menjual’ pemandangan buat para pelanggan yang berkunjung.

“Kami menjaga kualiti dan kesegaran udang galah yang disajikan yang mana, kesemuanya dibawakan khas daripada Port Dickson, Negeri Sembilan pada setiap hari.

“Pendek kata, pengunjung tak perlu bersusah payah ke sana untuk merasai udang galah, di sini kami sudah sediakan yang terbaik buat anda,” katanya.

Kembali ke era Retro

Selain bercerita mengenai pelbagai sajian makanan yang disediakan, pengunjung D’Empangan Putrajaya juga beruntung.

Sedang asyik menikmati makanan yang enak-enak, telinga juga disajikan dengan halwa muzik dan lagu sehingga sesekali terasa bagai sedang dibawa kembali ke era retro.

Mana tidaknya, selain ada deejay yang berceloteh mewarnai hiburan petang di situ, pengunjung juga dapat menyaksikan secara live penyanyi popular membuat persembahan di tempat yang sama.

“Kebetulan, D’Empangan ni mempunyai hubungan akrab dengan rakan-rakan artis tanah air, jadi rasanya tak salah jika kami juga mengundang dan memberi ruang buat mereka untuk menghiburkan pelanggan di sini.

“Antaranya termasuk Isma AF, Shidee, Razis Ismail, Jaafar Onn dan ramai lagi. Apa yang penting, semuanya menghiburkan dan pandai berinteraksi dengan pengunjung,” katanya.

Aneka menu lain

Tidak mahu makan udang? Atau mungkin sudah selesai meratah hidangan tersebut dan tekak pula mahu mencuba sesuatu yang berbeza?

Usah runsing, kerana D’Empangan juga menyediakan hampir sembilan buah gerai kecil ala kiosk dengan masing-masing menjual aneka menu yang tidak menghampakan selera anda.

Kata Bakhtiar, pelanggan juga boleh mencuba hidangan seperti Char Kue Tiaw, Yong Tau Foo, Roti John, Nasi Arab, Nasi Lemak Pandan, Nasi Dagang serta gorengan seperti pisang, ubi, baby crab atau colek ala rojak.

Bagi mereka yang ingin membasahkan tekak dan sukakan menu manis, gerai manisan dan ais krim Sangkaya juga ada disediakan di sini dengan pilihan perisa menarik mengasyikan.

“Pendek kata, semuanya ada di D’Empangan Putrajaya. Daripada hidangan berat kepada kudap-kudapan untuk dinikmati sambil melihat matahari terbenam yang melatari pemandangan tasik di sini.

“Rugi jika dilepaskan. Mana tahu, makanan dan pemandangan di sini mampu mencetuskan inspirasi tertentu buat anda sebagai pengunjung? Tentu berbaloi bukan?” katanya. – Mingguan Malaysia

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya