PUTRAJAYA: Lebih 1,200 pemandu e-hailing menuntut supaya kerajaan menguatkuasakan kawalan harga lantai tambang secara serta-merta.
Timbalan Pengerusi Gerakan Badan Bertindak Sahabat E-Hailing Malaysia, Zailani Zainuddin berkata, kumpulan tersebut memberi masa selama sebulan sehingga 21 Januari depan kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke untuk memberi jawapan balas kepada tuntutan mereka.
Jelasnya, menerusi memorandum yang diserahkan, gerakan itu mengemukakan tujuh tuntutan berkaitan tambang dan kadar caj.
“Kita sudah berbincang dengan pelbagai pihak dan minta pandangan dari mereka, boleh ke menteri kuatkuasakan perkara tersebut, jawapannya boleh.
“Tapi kenapa dibiarkan EHO (syarikat pengendali e-hailing) masuk (campur) dan menghambakan rakyat sampai ke tahap macam ini, ia amat-amat menyedihkan,” katanya kepada pemberita di pekarangan Kementerian Pengangkutan di sini, semalam.
Memorandum tuntutan yang telah ditandatangani oleh pemandu e-hailing itu diserahkan oleh Zailani kepada Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan Kementerian Pengangkutan, Roslan Mohamad.
Terdahulu, kira-kira 50 pemandu e-hailing berhimpun secara aman sekitar 30 minit di hadapan bangunan berkenaan bagi menuntut kerajaan menguatkuasakan tuntutan berkaitan harga lantai tambang perkhidmatan tersebut.
Tujuh tuntutan yang dikemukakan antaranya tambang minimum e-hailing hendaklah tidak kurang dari RM8 selepas komisyen EHO di Lembah Klang, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Melaka, manakala kadar RM7 selepas komisyen EHO di Perlis,
Kedah, Perak, Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.
Gerakan itu turut menuntut tambang bagi setiap kilometer bagi penghantaran melepasi jarak tambang minimum iaitu RM1.50 dan RM1.25 per kilometer selepas komisyen EHO, selain menuntut tambang dari atau ke pusat bandar Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebanyak RM90 untuk kereta sedan selepas komisyen EHO. – UTUSAN











