KOTA BHARU: Tindakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar melepaskan jawatan Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN) menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pemimpin Pas.
Ini kerana, beliau dikatakan berbuat demikian tanpa terlebih dahulu merujuk pucuk pemimpin parti dan menunggu penjelasan rasmi Naib Presiden Pas itu.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, tindakan itu di luar pengetahuan parti dan hanya diketahui menerusi kenyataan ringkas oleh Ahmad Samsuri kepada barisan kepemimpinan Pusat.
“Pas sendiri tidak mengetahui sebab sebenar beliau (Ahmad Samsuri) mengambil keputusan itu tetapi saya rasa beliau pasti mempunyai sebab yang munasabah. Kita (Pas) mahu komen pun tidak boleh sebab Pas tidak tahu sebab sebenar.
“Oleh itu, mana-mana pihak yang mahukan penjelasan perlu berhubung dan bertanya beliau sendiri atau tunggu penjelasan rasmi daripadanya,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas menyampaikan Kuliah Pagi Jumaat di Medan Ilmu, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Mohd. Amar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor berkata, Pas tidak dapat mengelak isu peletakan jawatan Ahli Parlimen Kemaman itu dijadikan bahan oleh pihak lawan bagi mengatakan PN kini sedang bergolak.
“Apa sahaja yang dibuat oleh gabungan parti ini (PN) akan tetap dijadikan sebagai isu oleh pihak lawan, walaupun apa yang kita buat ini merupakan perkara yang positif.
“Apa pun sehingga kini hubungan antara parti-parti politik dalam PN masih seperti biasa dan tiada sebarang masalah,” ujarnya.
Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang berkata, pihaknya tidak terlibat dalam keputusan Menteri Besar Terengganu itu.
“Saya tidak mempunyai apa-apa maklumat (peletakan jawatan Bendahari Agung PN), (Ahmad Samsuri) tak perlu merujuk kepada Pas negeri dalam membuat keputusan itu,” katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, usaha media untuk mendapatkan komen Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai isu tersebut di rumahnya di Rusila, Marang gagal apabila beliau enggan ditemu ramah.
Rabu lalu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, mengesahkan Ahmad Samsuri mengemukakan peletakan jawatannya sebagai Bendahari Agung PN namun enggan mengulas lanjut perkara itu.
Terdahulu, Majlis Tertinggi PN yang bermesyuarat pada 9 Disember lalu mengesahkan pelantikan enam jawatan penting yang kesemuanya kekal menjadi milik Bersatu.
Ia melibatkan pelantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung PN manakala jawatan Ketua Penerangan pula diisi Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ketua Wanita.
Bersatu juga menamakan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Timbalan Pengerusi PN manakala Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT) PN selaras dengan keputusan pemilihan parti itu baru-baru ini. – UTUSAN










