MEXICO CITY: Pihak berkuasa Mexico sedang menyiasat kematian 13 kanak-kanak yang disyaki berpunca daripada pencemaran beg intravena (IV) di empat hospital di tengah Mexico.
Menurut pegawai kesihatan Mexico, mangsa berusia antara satu hingga 14 tahun itu dipercayai dijangkiti bakteria klebsiella oxytoca yang kebal terhadap pelbagai jenis ubat.
Dalam satu kenyataan oleh Sekretariat Kesihatan Mexico semalam, kematian berlaku di tiga hospital awam dan sebuah klinik swasta di negeri Mexico.
“Wabak ini awalnya dikaitkan dengan IV atau peralatan yang digunakan untuk pentadbiran larutan tersebut yang mungkin tercemar,” menurut kenyataan itu.
Setakat ini, pihak berkuasa mengenal pasti 20 kes jangkitan klebsiella oxytoca, dengan 15 kes disahkan, empat kes diklasifikasikan sebagai kemungkinan dan satu kes dikecualikan.
Tujuh kanak-kanak lain masih dirawat di hospital dan keadaan mereka dilaporkan stabil, kata Setiausaha Kesihatan Negeri Mexico, Macarena Montoya.
Susulan kejadian itu, pihak berkuasa kesihatan mengeluarkan amaran epidemiologi di seluruh negara dan menggantung penggunaan serta pentadbiran IV daripada syarikat peralatan perubatan, Productos Hospitalarios.
Syarikat tersebut, yang mempunyai 36 tahun pengalaman dalam pembangunan penyelesaian inovatif untuk penjagaan kesihatan, belum memberikan sebarang kenyataan berhubung kes itu.
Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum menyifatkan insiden berkenaan amat menyedihkan dan menyatakan komitmen kerajaan untuk menjaga kebajikan keluarga mangsa, termasuk menentukan punca sebenar kematian.
Klebsiella oxytoca dikenali sebagai bakteria yang sering menyebabkan jangkitan dalam persekitaran hospital seperti radang paru-paru, jangkitan saluran kencing, jangkitan tisu lembut serta keracunan darah yang boleh membawa kepada kejutan septik. -AGENSI










