HULU TERENGGANU: Seorang warga emas bergenang air mata melihat semaian anak pokok balak diusahakannya dipenuhi lumpur selepas pulang dari pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir melanda daerah ini, minggu lalu.
Tijah Ali, 70, dari Kampung Kuala Jeneris di sini berkata, kejadian banjir paling teruk direkodkan dalam tempoh 80 tahun di kampung itu menyebabkannya berisiko kerugian kira-kira RM15,000 ekoran banyak anak pokok rosak.
Katanya, sebanyak 12,000 anak pokok meranti tembaga, meranti punai dan rambai daun baharu sahaja disemai dan ditanam bulan lalu dan dijangka dapat dijual Februari depan.
“Anak-anak pokok ini sedang ‘dikuarantin’ di dalam tempat khas bagi tujuan pengewapan untuk tempoh sebulan hingga dua bulan bergantung keadaan cuaca dan sepanjang jangka masa itu tidak boleh diusik.
“Banjir yang melanda mulai petang Jumaat lalu menyebabkan semuanya berubah. Walaupun polibeg tidak hanyut tetapi semuanya dipenuhi lumpur selain banyak yang patah dan anak pokok hilang dibawa arus.
“Selepas dibenarkan pulang ke rumah dari PPS pagi Sabtu lepas, saya sebak hingga bergenang air mata lihat tanaman penuh dengan lumpur dan sampah sarap,” katanya ketika ditemui di Kampung Kuala Jeneris, semalam.
Tijah yang sudah 24 tahun mengusahakan semaian itu berkata, dia hanya dapat menyembur air bagi membersihkan lumpur pada anak-anak pokok dan berserah kepada nasib kerana risiko pokok mati sangat tinggi.
Katanya, anak pokok tersebut lazimnya dijual kepada pemborong apabila mencapai ketinggian 0.3 meter dengan harga ketika ini RM1 sepohon.
“Banjir kali ini turut menyebabkan 11 ekor ayam serta seekor kucing peliharaan mati dan kali terakhir rumah makcik dilanda bencana itu ialah pada 2016,” katanya. – UTUSAN











