Tubuh Majlis Tindakan Memajukan Cherating

Tubuh Majlis Tindakan Memajukan Cherating

SEBUAH resort didakwa terbiar dan menjadi tinggalan usang di Cherating di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Cherating yang suatu ketika dahulu merupakan antara lokasi pelancongan terkemuka negara dan serata dunia kini dikatakan semakin suram tanpa kehadiran pelancong.

Pengerusi Eksekutif NNA Land, Datuk Nazrul Izad Mohd. Arsad berkata, kesan penularan wabak pandemik Covid-19, terdapat resort, hotel dan chalet di kawasan itu yang terpaksa gulung tikar.

“Ada juga hotel seperti tinggalan usang yang menakutkan. Apabila hotel ditutup tidak ada peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Sebagai anak tempatan di sini, saya sedih melihat keadaan Cherating ketika ini yang mana jika dibiarkan begitu sahaja dibimbangi hilang dalam kamus pelancongan negara. Saya mohon dan merayu kerajaan negeri bertindak mempromosikan semula Cherating sebagai aset pelancong dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Nazrul Izad berkata, kerajaan Pahang menerusi Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri perlu segera menubuhkan Majlis Tindakan Memajukan Cherating bagi mengangkat kembali kawasan itu sebagai lokasi pelancongan terkemuka di negeri, negara dan seluruh dunia.

Menurutnya, ia perlu dianggotai Majlis Pelancongan dan Budaya Negeri Pahang, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Cherating, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil hotel, motel serta inap desa di Cherating.

“Majlis tindakan ini perlu menitikberatkan tentang infrastruktur dan penganjuran acara di peringkat antarabangsa. Ia perlu memohon dana dari pada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk Cherating bangkit kembali selain menjadi zon bebas cukai,” katanya.

Menurutnya, Cherating juga perlu melaksanakan pelbagai program membabitkan penyertaan peserta dari seluruh dunia seperti memancing dan Festival Cherating sebagai acara tahunan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN