BANGKOK: Sekurang-kurangnya tiga pekerja maut dan 10 yang lain cedera selepas sebuah kren tumbang di tapak pembinaan di luar ibu negara Thailand, hari ini.
Insiden berlaku awal pagi ini di Samut Sakhon, barat Bangkok, apabila kren membina jejambat tumbang.
Tiga pekerja maut di tempat kejadian dan 10 yang lain cedera, dengan beberapa daripadanya dilaporkan kritikal, kata jurucakap polis Samot Sakhon, Detchanakorn Chanthaphum kepada AFP.
“Kami menemukan tiga mayat,” katanya yang mengesahkan mangsa terkorban di tempat kejadian.
Sepasukan jurutera dan polis sedang menyiasat punca kejadian, yang disyaki oleh pihak berkuasa berpunca daripada galang terlebih muatan.
Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra dalam kenyataan di platform X, mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa terlibat dan menegaskan kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa untuk menyiasat kejadian itu.
Kemalangan di tapak pembinaan adalah perkara biasa di Thailand, ekoran pengendali perniagaan sering mengabaikan keperluan keselamatan dan beroperasi tanpa permit.
Mac lalu, tujuh terbunuh apabila kren tumbang semasa kerja pembinaan di sebuah kilang di timur Bangkok.– AFP










