Tidak haram, tetapi pawagam di Kelantan tidak boleh bergelap

Tidak haram, tetapi pawagam di Kelantan tidak boleh bergelap

KERAJAAN negeri Kelantan menegaskan tidak pernah mengharamkan pembukaan pawagam. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan menegaskan tidak pernah mengharamkan pembukaan pawagam, namun pengusaha perlu mematuhi syarat-syarat agak ketat termasuk mengelak tayangan dalam suasana gelap bertujuan membendung anasir tidak sihat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Asri Mat Daud berkata, isu pawagam merupakan isu lama dan sudah banyak penjelasan dibuat oleh kerajaan negeri sebelum ini.

Menurutnya, antara syarat lain yang ditekankan dalam pekeliling kepada pihak yang berhajat membuka pawagam di Kelantan adalah pematuhan waktu solat lima waktu terutama maghrib dan isyak kerana jarak masa singkat.

“Sebenarnya hajat syarikat-syarikat yang mahu membuka pawagam di Kelantan terhenti atau tersekat pada aspek pematuhan syarat-syarat ditetapkan dan bukan kerana kerajaan negeri mengharamkan pembukaan pawagam.

“Memang ada beberapa syarikat menyatakan hasrat untuk membuka panggung wayang di negeri ini tetapi kesemuanya berakhir dengan kepayahan untuk mematuhi syarat ditetapkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Asri memberitahu, kerajaan negeri tetap menyediakan jalan alternatif buat pembikin filem yang mahu menayangkan karya.

“Jalan alternatif kita adalah memberikan sebuah dewan besar dan luas untuk membuat tayangan filem karya mereka sepertimana dilaksanakan semasa pratonton Duan Nago Bogho arahan Sabri Yunus sebelum ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri sememangnya menggalakkan pementasan kisah-kisah berkaitan sejarah, tokoh-tokoh penting dan kebudayaan yang menonjolkan identiti serta keunikan Kelantan selagi ia mematuhi syariat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN