REE bakal jana pendapatan baharu Kedah - Utusan Malaysia

REE bakal jana pendapatan baharu Kedah

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan ne­geri menjangkakan unsur nadir bumi (REE) akan mula menjadi sumber pendapatan baharu Kedah tahun depan, susulan mengesan kewujudan mineral itu di tapak milik sebuah anak syarikat kerajaan negeri (GLC).

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, tapak itu tidak terletak dalam kawasan hutan simpan sekali gus tidak terikat dengan polisi nombor 12 Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang tidak menyokong sebarang usaha perlombongan dalam hutan simpan.

“Satu daripada tiga pelabur yang diberi lesen menjelajah (EL) REE sudah menyatakan komitmen bawa masuk teknologi dari Amerika Syarikat (AS) dan kita bersedia untuknya. Pertamanya kena buat proses pengeringan diikuti mengekstrak beberapa elemen, sebelum pergi ke sektor hiliran untuk membuat bateri.

“Teknologi sudah ada, cuma tunggu kebenaran Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk proses itu dimulakan. Insya-Allah, kita nak ‘jalan’ yang itu dulu. Tahun 2025 nanti insya-Allah REE akan jadi pendapatan baharu Kedah,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr. Mohd. Suffian Yusoff (Pas-Bandar Baharu) mengenai persediaan kerajaan negeri dalam menerima teknologi luar berkaitan REE.

Terdahulu, Muhammad Sanusi memaklumkan ketika ini terdapat dua kuasa besar yang memiliki teknologi memproses mineral tersebut iaitu AS dan China.

Katanya, polisi China lebih ketat tetapi teknologi yang dimiliki negara itu lebih baik sehingga mereka mampu memproses 17 elemen REE berbanding teknologi AS yang ha­nya mampu memproses tujuh elemen setakat ini.

“China menetapkan polisi teknologi mereka tidak boleh dibawa keluar manakala polisi kerajaan kita pula tak benarkan REE mentah dihantar keluar. Sebelum ini ada konglomerat mahu labur hingga RM400 juta dan buat tawaran untuk bawa teknologi China ke sini, tetapi sampai sekarang tak mai.

“Jadi saya kata, kita ‘jalan’ dulu yang tujuh elemen itu dan kerajaan negeri akan ambil pendekatan berhati-hati untuk sentiasa patuh prosedur operasi standard (SOP). Bermula 2025 kita ada tekad untuk pastikan perkara ini dapat diselesaikan dan kalau tak selesai juga, kita akan cari jalan untuk bagi selesai,” katanya.

Sementara itu Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri membuat tawaran agar kawasan Bukit Enggang di Sik dijadikan sebagai projek perintis bagi melihat kesan mengekstrak REE kepada dirian hutan.

“Saya difahamkan di beberapa kawasan yang dibuat pengeks­trakan REE secara haram menggunakan kaedah larut resap insitu (ISL), pokoknya lebih hijau kerana prosesnya guna ammonia tetapi kajian secara saintifik belum dapat dilaksanakan.

“Saya dah buat tawaran itu dalam mesyuarat dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia pun setuju tetapi sampai sekarang belum ada keputusan mengenainya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN