WASHINGTON: Berjuta-juta rakyat Amerika Syarikat (AS) mula mengundi selepas pusat pengundian dibuka di seluruh negara, bagi menamatkan perlumbaan sengit antara calon Demokrat, Kamala Harris dan pencabarnya daripada Republikan, Donald Trump.
Pusat pengundian pertama mula dibuka pada pukul 5 pagi (waktu tempatan) di beberapa bahagian Vermont.
Namun, gelombang pembukaan besar pertama berlaku pada pukul 6 pagi (waktu timur) melibatkan Connecticut, New Jersey, New York dan Virginia, serta beberapa bahagian Kentucky serta Maine.
Sementara, North Carolina, Ohio dan West Virginia dibuka pada pukul 6.30 pagi (waktu timur).
Gelombang pembukaan tambahan akan berlaku di seluruh AS sepanjang hari, dengan pusat pengundian terakhir dibuka di Hawaii pada tengah hari (waktu timur).
Penutupan akan bermula di beberapa negeri pada pukul 7 malam (waktu timur), manakala Alaska akan kekal dibuka paling lama, hingga 1 pagi (waktu timur Rabu).
Pengundi yang berada dalam barisan waktu pusat pengundian ditutup secara rasmi masih dibenarkan untuk mengundi.
Ini bermakna stesen akan tetap dibuka melebihi waktu penutupan rasmi selagi pengundi masih berada dalam barisan.
Menurut Makmal Pilihan Raya Universiti Florida, hampir 83 juta orang mengundi awal dalam kitaran pilihan raya tahun ini, sama ada melalui pengundian pos atau secara peribadi.
Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding lebih 101 juta yang mengundi awal pada tahun 2020, ketika AS bergelut dengan pandemik COVID-19.
Setakat semalam, kedua-dua calon Presiden berada dalam kedudukan hampir seimbang di peringkat nasional, dengan Harris mendahului sedikit pada +0.1 peratus, mencatatkan 48.7 peratus, manakala Trump 48.6 peratus, menurut laman web RealClearPolitics.- ANADOLU










