MELAKA: Seorang pengurus syarikat keselamatan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi tujuan tuntutan bayaran jam bekerja pengawal keselamatan, lima tahun lalu.
Tertuduh, Zainal Abidin Za’abah, 55, mengaku tidak bersalah sejurus lima pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh sebagai seorang pengurus syarikat keselamatan didakwa secara tidak jujur menggunakan sebagai tulen satu dokumen yang diketahui palsu iaitu laporan pengesahan pelaksanaan kunci jam perakam masa perkhidmatan kawalan keselamatan di institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Zon Alor Gajah.
Kesalahan dilakukan di Pejabat Pendidikan Daerah, Jalan Kolam Air dalam daerah Alor Gajah antara 1 Mei dan 15 September 2019.
Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.
Timbalan Pendakwa Raya Fatin Nur Athirah Zainudin mencadangkan jaminan RM10,000 berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri sekali setiap bulan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka.
Peguam Mohd. Shahrullah Khan Wahab Zadah Khan merayu jaminan rendah RM5,000 dengan alasan isteri tertuduh sedia jadi penjamin.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dipohon pendakwaan dan menetapkan 13 Januari depan untuk sebutan semula kes.










