MELAKA: Seramai 21 pengamal media sambilan dan kontrak di negeri ini menerima tajaan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi tempoh perlindungan setahun.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, sumbangan tersebut bertujuan melindungi pengamal media daripada sebarang musibah ketika bertugas.
Katanya, tajaan caruman SKSPS turut diperluaskan kepada 100 orang asli dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya.
“Ini tahun ketiga saya menaja 21 pengamal media berstatus kontrak dan sambilan untuk caruman SKSPS. Tajaan turut melibatkan 100 masyarakat orang asli yang bekerja sendiri.
“Caruman ini sangat penting kepada yang bekerja sendiri terutama ketika ditimpa musibah akibat daripada atau semasa menjalankan pekerjaan dan Perkeso sahaja yang dapat membantu meringankan beban pencarum melalui pembayaran faedah-faedah tertentu,” katanya ditemui pada Program Jalinan Mesra Perkeso Bersama Media Melaka di sini, semalam.
Seramai 15,741 individu yang menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri, mencarum SKSPS bagi tempoh Januari hingga September.
Kata Hee Sem, sektor perkhidmatan sokongan merekodkan jumlah caruman tertinggi iaitu 6,016 individu diikuti penjaja (2,194) dan pengangkutan penumpang (1,889).
“Sektor perhutanan paling rendah dengan lima orang, teknologi maklumat (12) dan premis penginapan (24),” katanya.










