Peluang TLDM buktikan keupayaan pada rakyat, negara

Peluang TLDM buktikan keupayaan pada rakyat, negara

ZULHELMY Ithnain memberi tabik hormat kepada pasukan perbarisan pada Perbarisan Ulung Panglima TLDM Ke-19 di Kapal Diraja (KD) Pelandok, Pangkalan TLDM Lumut, Perak semalam. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Cabaran semasa yang semakin kompleks dan berterusan dihadapi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sekarang adalah peluang untuk pasukan itu menunjukkan kewibawaannya kepada rakyat dan negara ini.

Justeru, Panglima TLDM, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain mahu semua warga pasukan itu menggunakan pendekatan yang lebih inovatif untuk berdepan dengan perubahan dan cabaran tersebut dan memastikan setiap tindakan selari dengan visi angkatan bersenjata itu.

Kata beliau, ia juga menuntut semua warga pasukan itu untuk berusaha lebih keras, berfikir dengan lebih mendalam dan bekerjasama dengan lebih erat.

“Cabaran ini bukanlah halangan, malah peluang untuk kita menunjukkan kepada kerajaan dan rakyat Malaysia bahawa TLDM adalah ‘robust’ (teguh) dan fleksibel iaitu mampu me­ngadaptasi dan menghadapi pelbagai situasi dan keadaan dari semasa ke semasa.

“Mari kita ubah pelbagai cabaran ini menjadi peluang,” jelasnya ketika berucap sempena Perbarisan Ulung Panglima TLDM Ke-19 di Kapal Diraja (KD) Pelandok, Pangkalan TLDM Lumut di sini semalam.

Perbarisan melibatkan 554 anggota TLDM diketuai Komander Muammar Ghadaffi Yaakub itu diadakan di Dewan Senaman KD Pelandok, berikutan hujan lebat, manakala acara Lintas Hormat pesawat terpaksa dibatalkan.

Menurut Zulhelmy, cabaran itu datangnya daripada pelbagai faktor termasuk politik, ekonomi, sosial dan keselamatan di peringkat serantau dan global.

Katanya, walaupun cabaran itu berubah seiring dengan peredaran masa, tanggungjawab dan misi pasukan itu kekal sejak penubuhan TLDM pada 1934. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN