Kebolehpasaran graduan UniSZA meningkat 95.2 peratus - Utusan Malaysia

Kebolehpasaran graduan UniSZA meningkat 95.2 peratus

UNISZA mengambil pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan universiti itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus melakar kecemerlangan dalam bidang pendidikan tinggi negara apabila kadar kebolehpasaran graduannya meningkat seba­nyak 95.2 peratus pada tahun lalu.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Fadzli Adam berkata, data itu diperoleh berdasarkan Sistem Kajian Pengesanan Gra­duan (SKPG) yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Menurutnya, pada tahun ini, pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan UniSZA telah dijalankan dengan kerjasama daripada pihak agensi dan industri.

“Antara program meningkatkan kemahiran pelajar bersama industri adalah seperti program Sijil Profesional K-Youth Deve­lopment (KYDP) daripada Kha­zanah Nasional Berhad dan Irshad HR Consulting.

“Kerjasama yang erat turut kami laksanakan dengan pelbagai agensi seperti Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) melibatkan program Global Outsourcing Talent (GOT), eUsahawan Hab, pendaftaran profil pekerjaan di platform LinkedIn dan Nuturing Expert Talent (MyNext Talent).

“Hasil kerjasama yang telah dijalankan bersama agensi dan industri, data terkini SKPG 2024 menunjukkan seramai 131 graduan yang akan bergraduasi dalam majlis konvokesyen kali ini telah mencapai gaji premium melebihi RM4,000,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Esok, seramai 2,818 graduan akan menerima ijazah doktor falsafah (PhD), ijazah sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma masing-masing pada Majlis Konvokesyen UniSZA.

Majlis penuh gemilang yang berlangsung di Dewan Al Muktafi Billah Shah, Kampus Gong Badak, di sini, melibatkan seramai 118 graduan PhD, 93 sarjana, manakala selebihnya adalah graduan sarjana muda dan diploma.

“Sebanyak enam sidang dijadual berlangsung pada majlis konvokesyen ini yang akan disempurnakan oleh Tuanku Canselor, Sultanah Nur Zahirah pada sidang pertama, esok.

“Ekspo Konvokesyen UniSZA turut diadakan selama lima hari bermula semalam sempena majlis konvokesyen itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN