Manfaatkan dahulu pekerja asing sedia ada - Anwar

Manfaatkan dahulu pekerja asing sedia ada – Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyelarasan penempatan pekerja asing yang sudah berada di Malaysia perlu diberi keutamaan sebelum mempertimbangkan kemasukan tenaga kerja baharu dari luar negara bagi memenuhi keperluan industri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keperluan pekerja asing dalam sektor tertentu sememangnya wujud, namun jumlah pekerja asing sedia ada yang mencecah jutaan orang perlu dimanfaatkan terlebih dahulu menerusi penyelarasan lebih berkesan.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan kebergantungan berterusan kepada kemasukan pekerja asing baharu selain menangani isu sindiket pengambilan pekerja asing yang telah membebankan negara sejak sekian lama.

“Kita memerlukan tenaga pekerja asing, itu satu kenyataan, tetapi yang ada di Malaysia pun ramai dah berjuta daripada itu. Sekarang penyelarasan supaya yang sudah ada di Malaysia itu diberikan tempat bekerja daripada diimport lagi dari luar, kerana kita tahu sindiket pekerja asing pula satu hal yang membebankan selama puluhan tahun.

“Ia menjadi tempat untuk orang mengaut kekayaan, jadi sebab itu bagi saya, isu ini harus ditangani kerana ada beberapa sektor pekerjaan yang memang diperlukan, ada yang kata restoran kecil dan sebagainya, tapi harus diteliti oleh kedua-dua Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri dari sudut keselamatannya.

“Saya setuju dua perkara pertama ada keperluan untuk menambah pekerja asing tetapi harus ikut saluran dan peraturannya, kedua, yang ada di sini yang melanggar peraturan sedia ada tindakan tegas harus diambil,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang meminta kerajaan menyatakan langkah diambil bagi membantu industri PKS yang berdepan kekangan kewangan serta masalah kekurangan tenaga kerja susulan sukar mendapatkan pekerja tempatan, khususnya bagi pekerjaan kategori 3D (berbahaya, kotor dan sukar) termasuk isu pembaharuan permit serta pengambilan pekerja asing baharu yang menjejaskan keupayaan syarikat memenuhi tempahan pelanggan.

Tambah Anwar, isu tenaga kerja asing merupakan perkara rumit yang turut dihadapi banyak negara apabila berlaku peningkatan jumlah pekerja asing dalam sesebuah negara.

Menurut beliau, kemasukan pekerja asing yang tidak terkawal boleh mencetuskan reaksi dalam kalangan masyarakat, terutama apabila terdapat golongan yang melanggar peraturan atau mengambil alih peluang pekerjaan yang sebelum ini diceburi rakyat tempatan.

“Tenaga kerja ini memang isu rumit. Negara di dunia pun apabila berlaku kebanjiran pekerja asing akan menimbulkan reaksi daripada rakyat.Apatah lagi jika mereka ini dikenali sebagai kelompok yang kadangkala melanggar peraturan atau mengambil alih pekerjaan tradisional orang tempatan di pasar dan sebagainya,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan bersetuju supaya tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih tegas terhadap mana-mana individu yang melanggar peraturan tanpa mengira latar belakang.

“Yang ada permit, boleh berniaga dan bekerja. Kalau tidak, tindakan tegas harus diambil tanpa kira dia daripada kaum apa termasuk Rohingya. Keputusan kita dan saya ucap tahniah kepada Jabatan Imigresen, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan badan-badan penguatkuasa kerana mengambil tindakan tegas,” katanya.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan itu mungkin mengundang kritikan kononnya kerajaan tidak berlaku adil terhadap pekerja asing, namun setiap negara mempunyai peraturan yang perlu dipatuhi oleh semua pihak.

“Kalau peraturan dipatuhi, sama ada pekerja tempatan atau pekerja asing, kita akan beri perlindungan. Tetapi kalau peraturan dilanggar dan tempat perniagaan dirampas, tentunya akan menimbulkan reaksi negatif.Sebab itu badan penguat kuasa perlu tegas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN