Pampasan kemalangan ambil kira tahap kecederaan, kerugian mangsa

Pampasan kemalangan ambil kira tahap kecederaan, kerugian mangsa

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan pesalah membayar pampasan kepada mangsa atau waris, berdasarkan fakta dan merit setiap kes.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia termasuk tahap kecederaan atau kematian, kerugian yang dialami dan kemampuan pesalah untuk membayar pampasan.

Katanya lagi, kementeriannya pada peringkat kini masih dalam proses mencadangkan pindaan itu bagi memperkenalkan mekanisme pampasan kepada mangsa atau waris bagi kemalangan jalan raya yang menyebabkan kematian atau kecederaan serius.

“Ini menunjukkan komitmen kerajaan bahawa pemandu yang menyebabkan kematian akibat pemanduan berbahaya dan melulu tidak akan dilayan sebagai pesalah trafik biasa, sebaliknya akan dikenakan tindakan undang-undang yang paling berat mengikut kesesuaian kes,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) mengenai langkah serius kementerian untuk menoktahkan lumba haram di lebuh raya seluruh negara, seperti kemalangan di Simpang Renggam pada 1 Jun lalu.

Mengulas lanjut, Loke berkata, kementerian melalui agensi penguatkuasaan juga meningkatkan operasi membanteras lumba haram di seluruh negara.

“Mengenai hukuman lebih berat terhadap pemandu lumba haram yang menyebabkan kematian, undang-undang sedia ada sudah memperuntukkan hukuman yang berat.

“Dalam kes Simpang Renggam, Pejabat Peguam Negara mengarahkan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu pertuduhan membunuh yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, termasuk sekurang-kurangnya 12 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati,” katanya.

Kemalangan di Jalan Renggam-Kluang pada 1 Jun lalu meragut nyawa empat sekeluarga, berpunca daripada tindakan pemandu dua kereta mewah memandu secara laju dan melulu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN