KUALA LUMPUR: Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terus membuktikan keupayaan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi apabila merekodkan kadar kebolehpasaran graduan mencecah 98.7 peratus.
Institusi TVET di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) pula mencatatkan rekod lebih tinggi iaitu 99.5 peratus.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Awang berkata, pencapaian itu membuktikan penawaran program TVET KKDW memenuhi keperluan sebenar industri serta kehendak pasaran kerja semasa.
“Hala tuju bersepadu TVET KKDW adalah jelas iaitu melahirkan graduan TVET yang bukan sahaja kalis masa hadapan, menguasai teknologi tinggi dan diiktiraf oleh industri, malah kompeten sebagai teknousahawan serta pencipta pekerjaan yang mampu memacu ekonomi luar bandar demi kemakmuran negara,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah), meminta kementerian menjelaskan hala tuju dalam memastikan program pendidikan dan TVET sentiasa selaras dengan keperluan industri masa hadapan, termasuk bidang berkaitan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), ekonomi hijau dan pekerjaan berkemahiran tinggi.
Katanya lagi, TVET KKDW sentiasa bersedia mendepani cabaran pasaran ekonomi moden agar penawaran program dijajarkan secara langsung kepada sektor pertumbuhan tinggi dan nilai tinggi atau High Growth High Value (HGHV) seperti sektor teknologi digital, peralihan tenaga, elektrik dan elektronik bernilai tinggi serta pertanian moden.
“Institusi TVET KKDW terus memperkasakan pelatih dengan penguasaan teknologi termaju selaras dengan agenda pendigitalan global seperti AI, internet kebendaan (IoT), pengkomputeran awan, keselamatan siber, automasi, robotik dan sistem pengilangan pintar.
“Bagi mengoptimumkan sumber kepakaran dan memaksimumkan keberkesanan latihan, institusi TVET KKDW melaksanakan bidang pengkhususan khusus secara bersasar,” katanya.
Selain itu, dalam usaha menyokong agenda ekonomi hijau dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), institusi TVET KKDW termasuk Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH) dan Kolej KEDA telah mengorak langkah dengan menawarkan latihan berimpak tinggi dalam bidang teknologi automotif kenderaan elektrik (EV) serta bioteknologi pertanian untuk belia luar bandar.
“Selain itu, keberkesanan latihan turut diperkukuh melalui pelaksanaan konsep Teaching Factory melalui pendekatan Work-Based Learning dalam pembelajaran TVET KKDW. Menerusi kaedah ini, para pelatih didedahkan secara langsung kepada ekosistem operasi kilang sebenar serta perkakasan berteknologi tinggi masa kini,” katanya.
Tambahnya, di bawah kerangka TVET 2.0 juga, KKDW akan memfokuskan pembangunan modal insan secara lebih proaktif dengan terus memperkasakan program TVET Tahfiz.
“Inisiatif ini adalah demi melahirkan generasi huffaz yang bukan sahaja mampan dari aspek sahsiah dan jiwa, malah dilengkapi dengan kemahiran teknikal digital dan teknologi tinggi agar mereka mampu berdaya saing dalam pasaran kerja global,” katanya. – UTUSAN










