Kampung ‘diserang’ monyet, penduduk resah - Utusan Malaysia

Kampung ‘diserang’ monyet, penduduk resah

PENDUDUK Kampung Mendum, Lenggeng di sini resah dengan kehadiran sekumpulan monyet dalam jumlah yang besar sejak kebelakangan ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Penduduk Kampung Mendum, Lenggeng di sini resah dengan kehadiran sekumpulan monyet dalam jumlah yang besar di kampung berkenaan sejak kebelakangan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pem­bangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Kampung Mendum, Hanapiah Baba berkata, isu berkenaan mendatangkan pelbagai masalah termasuk kerosakan kepada tanaman di­usahakan penduduk.

“Penduduk kampung memang terganggu dengan monyet dan beruk liar ini. Keadaan makin parah apabila pembangunan projek jalan yang menghubungkan Ulu Beranang ke Kampung Gagu di Jelebu dimulakan selain aktiviti projek ta­naman semula.

“Akibatnya, kebanyakan habitat binatang-binatang tersebut terjejas, makanan di hutan sukar dicari dan haiwan-haiwan liar ini mula keluar masuk ke kampung untuk mencari makanan.

“Apa sahaja yang ditanam penduduk habis dicabut, dimakan tetapi setakat ini belum ada lagi serangan kepada penduduk,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Hanapiah memberitahu, masalah tersebut dibangkitkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS)

“Namun, ia masih berlaku. Ketika ini ada penduduk mengambil langkah sendiri dengan memasang pagar elektrik untuk menghalang monyet memasuki kebun,” katanya.

Dia dalam pada itu memaklumkan, kehadiran monyet berkenaan dalam jumlah yang banyak berkemungkinan di­sebabkan haiwan itu takut dengan harimau kumbang.

Jelasnya, terdapat dakwaan daripada penduduk yang terlihat haiwan liar seakan harimau kumbang di kampung tersebut baru-baru ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN