JERANTUT: Kerajaan perlu membantu pengusaha ‘lori hantu’ di tanah rancangan Felda dengan menyediakan program subsidi atau pinjaman mikro bagi membolehkan mereka menaik taraf kenderaan digunakan sekurang-kurangnya memiliki insurans dan cukai jalan.
Ketika ini, kira-kira 80 peratus lori yang digunakan untuk mengangkut sawit di kawasan tanah rancangan Felda adalah ‘lori hantu’.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, Haris Salleh Hamzah berkata, semua pihak tidak boleh menafikan sumbangan besar ‘lori hantu’ kepada ekonomi warga peneroka dan Felda secara keseluruhannya.
“Jadi, selain program subsidi atau pinjaman mikro, kerajaan juga boleh membantu dengan memberikan insentif khas atau geran kepada pengusaha lori hantu untuk menaik taraf kenderaan termasuk kepada koperasi yang masih tidak mampu menguruskan pengangkutan.
“Kerajaan dengan bantuan pihak penguatkuasa jalan raya juga dicadangkan supaya menyediakan zon atau laluan khas bagi lori hantu dengan kawalan tertentu untuk mengurangkan risiko kemalangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Mingguan Malaysia melaporkan kisah ‘lori hantu’ yang seawal pukul 7 pagi sudah mula menggegar suasana ladang kelapa sawit di tanah rancangan Felda disusuli suara riuh rendah pekerjanya menaikkan buah sawit ke atas kenderaan berkenaan.
Mengulas lanjut, Haris Salleh berkata, susulan laporan itu, beliau akan mengadakan program dialog antara peneroka, pengusaha lori hantu, koperasi Felda dan agensi penguatkuasa untuk mencari penyelesaian yang boleh memanfaatkan semua pihak.
“Ruang perbincangan ini lebih kepada situasi ‘menang-menang’ dengan semua pihak bagi mencari penyelesaian jangka panjang serta peranan kerajaan sendiri dapat membantu pengusaha lori hantu,” katanya.
Ahli Jawatankuasa Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Malaysia Pahang, Anuar Mustakim berkata, lori hantu tetap diperlukan bagi memberikan perkhidmatan pengangkutan dalam Felda untuk menampung kekurangan lori yang lengkap cukai jalan dan insurans.
“Isu ini jika hendak diselesaikan ibarat ‘menarik rambut dalam tepung’ bagi menjaga hati serta kebajikan pengusaha atau pemandu lori.
“Pengusaha lori hantu sudah lama menjalankan aktiviti pengangkutan di Felda dan kita tahu mereka faham atau akur dengan prosedur undang-undang yang perlu ada pada kenderaan berkenaan,” katanya.
Anuar yang juga peneroka Felda berkata, Felda dan kerajaan Perpaduan perlu berbincang tentang isu tersebut serta mencari alternatif bagi membolehkan perkhidmatan lori hantu tetap diteruskan pada masa akan datang.








