ALOR GAJAH: “Abang, kerjalah elok-elok kerana kau ada tanggungjawab besar selepas ini,” demikian pesanan terakhir Allahyarham Mokthar Othman, 61, yang ditemukan mati lemas di Sungai Pengkalan, Taman Persisiran Sungai di sini, kelmarin.
Anak tunggal mangsa, Muhammad Syukri Mokthar, 23, berkata, kata-kata itu merupakan pesanan terakhir ayahnya selepas solat subuh, Jumaat lalu di rumah mereka di Shah Alam, Selangor sebelum mereka sekeluarga bertolak ke Taman Seri Manggis, Machap bagi menghadiri majlis perkahwinan saudara.
Menurutnya, tidak terlintas di fikirannya bahawa pesanan itu mempunyai maksud mendalam kerana pada awalnya menganggap ia sebagai pesanan biasa orang tua kepada seorang anak.
“Bila ayah hilang pada awal pagi Ahad sehingga mayatnya ditemukan lemas di Sungai Pengkalan, barulah saya teringat pesanan terakhirnya itu.
“Saya seperti tidak percaya kehilangan seorang ayah dalam sekelip mata. Biarpun begitu saya dan ibu, Rahmah Jantan termasuk adik angkat, Umi Natasha reda dengan pemergiannya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Hutan Percha, semalam.
Kelmarin, mayat Mokthar ditemukan anggota mencari dan menyelamat (SAR) pukul 2.25 petang dalam keadaan lengkap berpakaian kira-kira 200 meter dari tebing sungai iaitu lokasi seliparnya dijumpai.
Hasil bedah siasat mengesahkan arwah mengalami serangan jantung sebelum terjatuh ke dalam sungai berkenaan.
Namun, katanya, yang menjadi tanda tanya ialah tentang keberadaan Mokthar di Taman Rekreasi Seri Sutera berhampiran Sungai Pengkalan sedangkan Allahyarham memaklumkan ingin keluar membeli makanan.
“Susulan itu, kami pergi mencari dan akhirnya menemukan kereta ayah di parkir taman rekreasi itu namun tidak menemukan apa-apa,” katanya.
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Hutan Perca selepas solat isyak malam semalam.










