Abu Bakar kini Exco, Marzita, Redzuan turut dilantik - Utusan Malaysia

Abu Bakar kini Exco, Marzita, Redzuan turut dilantik

ABU Bakar Hamzah mengangkat sumpah jawatan Exco pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Bilik Hijau Istana, Arau, Perlis, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Selepas dua kali tidak terpilih, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah kini dilantik sebagai Exco kerajaan negeri dalam majlis angkat sumpah jawatan ber­kenaan di sini, semalam.

Turut dilantik sebagai Exco baharu ialah ADUN Sena, Datin Marzita Mansor dan ADUN Guar Sanji dari Pas, Mohd. Ridzuan Hashim.

Rombakan itu menyaksikan dua Exco dari Bersatu iaitu ADUN Pauh, Megat Hashirat Hassan dan ADUN Tambun Tulang, Wan Zikri Afhtar Ishak digugurkan.

Abu Bakar bakal memegang portfolio Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Luar Bandar, Marzita memegang portfolio Kebajikan, Kesihatan dan Keusahawanan manakala Mohd. Ridzuan (Belia dan Sukan dan Sains, Teknologi dan Inovasi).

Majlis angkat sumpah berlangsung di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Bilik Hijau Istana Arau di sini semalam. Turut berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Majlis turut disaksikan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Rahimi Ismail dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Rus’sele Eizan.

Sementara itu, Exco yang kekal ialah Izizam Ibrahim, Muhammad Azmir Azizan, Asrul Aimran Abd Jalil, Razali Saad dan Wan Badariah Wan Saad yang menyaksikan komposisi lima wakil dari Pas dan tiga Bersatu.

Abu Bakar dalam reaksinya, mengucapkan terima kasih atas kepercayaan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri meme­gang jawatan Exco kerajaan ne­geri.

Katanya, pelantikan tersebut yang mendapat sokongan pucuk kepemimpinan tertinggi parti PN khususnya, bagi mengimbangi semula kedudukan hierarki parti supaya gabungan tersebut berjalan de­ngan lancar di negeri ini.
“Insya-Allah kita akan baiki apa jua kekurangan dalam tempoh dua tahun ini dan seterus­nya bagi memastikan PN kekal menang di negeri ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN