KAHERAH: Mesir secara rasmi diisytiharkan bebas malaria oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), satu pencapaian yang dianggap bersejarah oleh agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dalam satu kenyataan semalam, WHO memuji kerajaan dan rakyat Mesir terhadap usaha mereka untuk menamatkan penyakit yang wujud di negara itu sejak zaman purba.
“Malaria adalah setua tamadun Mesir itu sendiri, tetapi penyakit yang melanda firaun kini menjadi sebahagian daripada sejarahnya,” kata Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.
WHO berkata, Mesir adalah negara ketiga yang disahkan bebas malaria di Wilayah Mediterranean Timur, selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Maghribi.
Di peringkat global, 44 negara dan satu wilayah turut mencapai status ini.
Namun, WHO berkata pensijilan itu hanya permulaan fasa baharu dan menggesa Mesir untuk sentiasa berwaspada bagi mengekalkan status bebas malaria.
Untuk mendapatkan pensijilan WHO, sesebuah negara mesti membuktikan keupayaan untuk mencegah penularan semula.
Pensijilan diberikan apabila sesebuah negara membuktikan rantaian penularan terhenti selama sekurang-kurangnya tiga tahun berturut-turut.
Pihak berkuasa Mesir melancarkan usaha pertama mereka untuk membasmi penyakit berjangkit bawaan nyamuk ini hampir 100 tahun yang lalu.
Malaria membunuh sekurang-kurangnya 600,000 orang setiap tahun, hampir kesemuanya di Afrika.– BBC










