JAKARTA: Seorang pengasuh yang didakwa memberi ubat perangsang selera makan dan steroid kepada kanak-kanak dua tahun, dikenakan tuduhan di bawah dua undang-undang tempatan termasuk penderaan domestik.
Pengarah Siasatan Jenayah Daerah Jawa Timur, Kombes Farman berkata, pengasuh berusia 36 tahun dari Sulawesi Selatan itu mengaku ada memberi ubat kepada kanak-kanak terbabit untuk menambah berat badan.
“Motifnya adalah untuk melihat kanak-kanak itu semakin gemuk.
“Namun, pelaku tidak mempunyai pengetahuan atau pendidikan kesihatan yang mencukupi untuk melakukan perkara sedemikan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Jawa Timur, semalam.
Farman berkata, suspek kini dituduh di bawah Artikel Undang-Undang Nombor 23 Tahun 2004 mengenai Penderaan Domestik dan Artikel 436 Undang-Undang Nombor 17 Tahun 2023 mengenai kesihatan, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.
Kompas melaporkan, kanak-kanak berusia dua tahun itu kini menjalani terapi kerana sukar makan, dan mengalami pertambahan berat badan lebih enam kilogram dalam setahun.
Perbuatan pengasuh itu tular selepas ibu kanak-kanak terbabit, Linggra Kartika mendedahkan mengenai penemuan pil biru dan oren yang didakwa digunakan pengasuh untuk menabahkan berat badan anaknya.
Linggra berkata, pengasuh didapati membeli ubat-ubatan itu melalui platform pasaran dalam talian dengan harga sekitar 27,000 hingga 38,000 rupiah (RM8.37 hingga RM11.78).
Ubat tersebut didakwa dicampurkan dengan air dan diberikan kepada kanak-kanak terbabit.
“Selepas sembilan hari menghentikan ubat, keadaan anak saya semakin teruk dan dia tidak mahu makan atau minum,” kata Linggra.
Beliau membuat laporan kepada polis pada 30 Ogos lepas dan pengasuh itu ditangkap pada 27 September lalu, lapor Detik.com.
Polis juga sedang menyiasat kejadian lain melibatkan pengasuh memberi ubat terlarang kepada anak jagaan mereka, sebagai sebahagian daripada potensi trend yang lebih meluas.










