Inisiatif bantu pulih anak-anak autisme

Inisiatif bantu pulih anak-anak autisme

HABSAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Beberapa inisiatif yang disediakan dengan penumpuan kepada pendidikan dan kebajikan anak-anak autistik memperlihatkan komitmen kerajaan untuk melihat golongan terbabit berdikari dan berjaya dalam kehidupan mereka kelak.

Pengerusi Pertubuhan Guru, Ibu Bapa dan Anak Berkeperluan Khas Negeri Sembilan, Habsah Yusof berkata, penumpuan kerajaan terutama menerusi pembinaan Pusat Permata di setiap negeri sebagai pusat intervensi awal untuk kanak-kanak yang mengalami autisme juga sangat disambut baik.

“Kanak-kanak autisme ini mempunyai peluang untuk pulih malah peluang untuk berjaya dalam kehidupan. Kanak kanak autisme ini sekiranya benar-benar dijaga dan melalui program yang betul, mereka boleh berjaya malah boleh menjadi doktor dan pensyarah kerana mereka ini juga bijak.

“Penubuhan Pusat Permata di setiap negeri seperti diumumkan Perdana Menteri merupakan keputusan yang tepat kerana program intervensi di situ dikendali dengan cukup baik oleh pakar-pakar namun ia tidak mencukupi ketika ini,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini.

Kelmarin ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, sebanyak 11 Pusat Permata baharu akan dibina bagi melengkapkan setiap negeri dengan pusat didikan anak-anak autistik termasuk di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Menurut Perdana Menteri lagi, dua sekolah baharu murid berkeperluan khas juga akan dibina di Tuaran, Sabah dan Johor Bahru, Johor dengan kos sebanyak RM300 juta dengan sekolah di Johor Bahru itu bakal menjadi sekolah pertama yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada pendidikan untuk autistik.

Selain itu, Anwar memberitahu, sebuah Pusat Perkhidmatan Autisme juga akan dibangunkan bagi memanfaat komuniti autisme dengan peruntukan RM5 juta.

Sementara itu, Habsah memberitahu, dengan penambahan Pusat Permata berkenaan, kerajaan juga perlu bersedia dengan jumlah juruterapi pakar yang telah mempunyai latihan secukupnya bagi melaksanakan program-program intervensi di situ.

“Tidak boleh tangkap muat, juruterapi mesti pakar kerana di situ kena dilaksanakan terapi cara kerja, fisioterapi dan terapi pertuturan, mereka kena ada latihan khusus se­perti di Pusat Permata di ibu negara, semua juruterapi mereka berada dalam Gred DG41,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×