SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan terhadap fatwa yang diputuskan oleh kerajaan negeri Selangor terhadap ajaran dan gerakan dalam syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).
Baginda juga menitahkan agar perkara itu dimaklumkan dalam khutbah solat Jumaat, hari ini.
Bagaimanapun, perincian berkenaan fatwa tersebut hanya akan diumumkan selepas ia melalui proses pewartaan bagi membolehkan penguatkuasaan dari segi tindakan undang-undang.
Pengerusi Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, keputusan tersebut sudah pun disembah maklum kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah oleh Pengerusi Jawatankuasa Fatwa, Datuk Dr. Anhar Opir yang juga Mufti Selangor semalam.
Menurutnya, baginda ketika menerima menghadap jawatankuasa berkenaan di Istana Bukit Kayangan sudah memberi perkenan dan menitahkan supaya dijadikan sebagai intipati khutbah di lebih 500 masjid dan surau solat Jumaat seluruh negeri.
“Dalam pertemuan itu disembah maklum berkenaan fatwa itu sahaja. Jawatankuasa Fatwa yang sembah maklum. Nasihat dan pesanan tuanku juga akan dimaklumkan juga dalam khutbah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Kelmarin, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad memaklumkan pihaknya menahan 108 orang pengikut GISBH yang dipercayai mengamalkan Aurad Muhammadiyah.
Malah, pihaknya juga sedang berusaha mengesan salasilah 425 kanak-kanak yang diselamatkan selepas pengikut gerakan tersebut dipercayai melakukan perkahwinan bercelaru dan tidak mendaftar dengan Pendaftar Perkahwinan, Cerai dan Rujuk Orang Islam Negeri Selangor.
Dalam pada itu, Mohammad Fahmi menjelaskan, pewartaan fatwa akan dilakukan dalam masa terdekat seperti mana dititahkan oleh Sultan Selangor sebelum ini.
“Proses pewartaan fatwa itu ada dua kaedah, tetapi tertakluk kepada apa keputusan yang diputuskan (semalam). Tetapi proses itu di peringkat dalaman. Boleh jadi juga dibentangkan ke sidang
Dewan Undangan Negeri (DUN) kalau perkara itu ada keperluan awam yang mendesak.
“Tetapi, saya tak pasti sama ada semalam itu (ditentukan) laluannya (proses). Ada beberapa laluan, tetapi syaratnya semalam perlu diwartakan dahulu sebelum dikuatkuasakan,” ujarnya.











