KAMPAR: Seorang pesara, Zainal Abidin Mahmood, 72, dan isteri, Rasemah Mamat, 64, hanya mempelajari dari YouTube untuk bergelar usahawan ternakan puyuh berjaya di Kampung Batu 8, Jalan Tanjung Tualang di sini sejak beberapa tahun lalu.
Menurut Zainal Abidin, dia mempelajari sendiri kaedah menggali air bawah tanah atau sumber air boring, inkubator dan reban hanya melalui perkongsian video usahawan ternakan unggas itu dalam YouTube.
“Alhamdulillah, setakat ini saya secara konsisten dapat menghasilkan kira-kira 300 ekor puyuh sebulan termasuk ratusan telur untuk makanan sendiri, sedekah kepada orang susah di kampung dan jualan.
“Memang, mengambil masa yang lama untuk mendapat teknik tepat tetapi dapat menjimatkan perbelanjaan berbanding membelinya di pasaran. Hidup perlukan cabaran baru hasilnya memuaskan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Katanya lagi, air boring itu selain dijadikan minuman unggas dan ternakkan, ia juga dapat digunakan untuk menyiram pokok herba dan hiasan di rumahnya.
“Najis puyuh juga dapat digunakan sebagai baja organik tanaman, jadi segala genap lapisan ternakan ini dimaksimumkan kegunaannya.
“Malah, sumber pencahayaan juga menggunakan tenaga solar termasuk untuk kegunaan rumah, jadi banyak kos yang dimanfaat menerusi ilmu menerusi YouTube ini,” katanya.
Kata Zainal Abidin, dia tidak begitu memikirkan keuntungan hasil jualan puyuh dan telur unggas itu.
“Saya sendiri ada duit pencen, tiada bebanan kos rumah dan kenderaan kerana telah habis dibayar jadi saya jual dengan harga yang lebih murah di pasaran.
“Konsepnya, asal semua merasa kerana setiap rezeki kita ada juga bahagian orang lain. Orang susah kita tolong lebih berkat kehidupan sekeluarga,” katanya. – UTUSAN











