WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) sudah membelanjakan lebih AS$22.76 bilion (RM97.60 bilion) untuk menyokong perang Israel ke atas Gaza dan operasi menentang Houthi di Yaman, menurut laporan oleh Institut Watson Universiti Brown.
Sebanyak AS$17.9 bilion (RM76.78 bilion) bantuan ketenteraan kepada Israel sejak perang di Gaza bermula setahun lalu adalah jumlah tahunan tertinggi yang pernah dikeluarkan Washington.
Menurut laporan daripada projek Kos Perang institut itu, bantuan kepada Israel adalah gabungan pembiayaan ketenteraan, penjualan senjata dan pemindahan dari simpanan senjata AS.
Sebahagian besar daripada senjata yang dihantar oleh AS adalah peluru termasuk peluru meriam dan 2,000 bom seberat 907 kilogram.
Tidak seperti bantuan ketenteraan AS yang didokumentasikan secara terbuka kepada Ukraine, butiran beberapa penghantaran tentera AS ke Israel lebih sukar didapati, menjadikan angka tersebut tidak lengkap.
Jelas laporan itu, terdapat usaha daripada pentadbiran Presiden AS, Joe Biden untuk menyembunyikan jumlah penuh bantuan dan jenis sistem melalui birokrasi.
“Israel, sekutu terkuat AS di Asia Barat, adalah penerima terbesar bantuan ketenteraan AS dalam sejarah, mengambil AS$251.2 bilion ( (RM1.07 trilion) sejak 1959.
“”Namun, $17.9 bilion (RM76.7 bilion) yang dibelanjakan sejak 7 Oktober 2023, adalah jumlah bantuan ketenteraan terbesar yang dihantar ke Israel dalam satu tahun.
Sebagai tambahan kepada bantuan kepada Israel, AS juga turut membelanjakan AS$4.86 bilion (RM20.83 bilion) untuk operasi di Yaman dan lokasi lain di Asia Barat.
AS, bersama United Kingdom (UK), melancarkan serangan udara ke atas kedudukan Houthi di Yaman sejak Januari lalu selepas kumpulan pemberontak itu mula menyerang penghantaran kapal di perairan sekitar negara berkenaan.
Pembiayaan untuk perang Israel semakin memecah belah rakyat AS berikutan peningkatan jumlah kematian orang awam di Gaza dan Lubnan, dengan pakar senjata menunjukkan peluru yang dibiayai AS kemungkinan digunakan oleh tentera Israel untuk menyerang khemah pelarian dan sekolah-sekolah.
Pada Julai lalu, 12 bekas pegawai kerajaan AS memberi amaran penghantaran senjata AS ke Israel menjadikan negara itu bersubahat dalam kemusnahan Gaza.
“Perlindungan diplomatik AS, dan aliran berterusan senjata ke Israel, sudah tentu menyebabkan negara kita terbabit secara langsung dan tidak dapat dinafikan bersubahat dalam pembunuhan dan menyebabkan kelaparan kepada penduduk Palestin yang terkepung di Gaza,” kata pegawai-pegawai itu, termasuk bekas anggota Jabatan Negara AS dan tentera dalam kenyataan bersama.– AGENSI










