PETALING JAYA: Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok menuntut ganti rugi RM25 juta daripada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh yang didakwa memutar belit kenyataannya mengenai isu pensijilan halal.
Surat tuntutan (LOD) kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu disahkan peguam Teresa, Sankara Nair & Partners.
Dalam notis yang dihantar oleh peguamnya, kenyataan itu juga menyatakan, klien mereka juga menuntut daripada Muhammad Akmal semua kos guaman dan perbelanjaan yang timbul daripada perkara ini.
“Jika pelanggan kami tidak menerima sebarang maklum balas yang memuaskan daripada anda dalam tempoh tujuh (7) waktu bekerja dari tarikh penerimaan notis ini, kami memulakan tindakan undang-undang tanpa merujuk lagi kepada anda,” menurut notis itu.
Notis itu turut menuntut Muhammad Akmal menarik semula kenyataan yang dikeluarkan serta memohon maaf atas tindakan beliau mencemarkan reputasi Teresa.
“Tindakan anda telah menyebabkan pelanggan kami tidak mempunyai pilihan selain memulakan tindakan ini untuk mempertahankan reputasi dan kehormatannya dan oleh itu, kami telah diarahkan untuk menuntut daripada anda iaitu penarikan serta-merta ‘Kata-kata Fitnah Yang Didakwa’ dan/atau ‘Kata-kata Libel yang Didakwa’ dan untuk membuang atau menarik balik perkataan yang sama.
“Permohonan maaf tanpa syarat dan tidak boleh ditarik balik dalam cara dan bentuk yang akan diluluskan oleh kami sebagai peguam cara dan akan diterbitkan di atasnya dalam akhbar atau media pilihan pelanggan kami.
“Satu aku janji bertulis oleh anda untuk tidak mengulangi apa-apa lagi atau dakwaan dan komen lain seperti yang terkandung atau seperti ‘Kata-kata Fitnah Yang Didakwa’ dan/atau ‘Kata-kata Libel yang Didakwa’,” katanya.
Sementara itu Muhammad Akmal berkata, beliau sedia ke mahkamah untuk berdepan dengan tuntutan ganti rugi tersebut.
“Kita lawan di mahkamahlah. Kita tengok siapa yang putar belit,” katanya ringkas ketika dihubungi. – UTUSAN










