PETALING JAYA: Pelabur yang mempunyai pegangan saham dalam syarikat hartanah OCR Group Bhd. perlu mempertimbangkan untuk menyertai pelaksanaan terbitan hak boleh pindah milik syarikat tersebut, menurut penganalisis ekonomi.
Difahamkan, terbitan hak boleh pindah milik syarikat itu melibatkan sehingga 1.34 bilion saham baharu pada harga terbitan 3.5 sen sesaham.

Pensyarah Kewangan Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Wan Mohd Farid Wan Zakaria berpandangan, pelaksanaan hak itu berasaskan dua saham hak bersama dua waran untuk setiap tiga saham OCR Group dimiliki oleh pemegang saham setakat 5 September lalu.
“Ia adalah kiraan aritmetik yang mudah di mana harga tawaran terbitan hak sebanyak 3.5 sen melibatkan diskaun sebanyak 30 peratus daripada harga saham semasa OCR Group sebanyak 5 sen.
“Kemudian akan ada dua waran percuma yang disertakan dengan setiap dua saham hak di mana seseorang boleh mengharapkan harga waran disenaraikan pada 1.5 sen secara konservatif.
“Oleh itu, jumlah keseluruhannya adalah pelabur boleh mendapat keuntungan 30 peratus atau 1.5 sen daripada diskaun satu saham terbitan hak, selain tambahan 1.5 sen daripada waran percuma (dua saham hak bersama dua waran), semuanya dengan jumlah diskaun 60 peratus atau 3 sen (OCR terakhir didagangkan pada 5 sen pada 6 September),” katanya dalam kenyataan.
Difahamkan, tarikh dan masa akhir untuk penerimaan dan pembayaran bagi peruntukan sementara dan saham hak berlebihan dengan Waran E adalah pada 5 petang, 23 September depan.
Bagi pelabur yang berminat untuk menyertai pelaksanaan terbitan hak, mereka boleh membeli berbuat demikian sebelum 13 September.
Menurut laporan, pada 24 April lalu OCR Group telah menandatangani perjanjian dengan pemilik tanah untuk membangunkan projek perumahan bersama di atas tanah pegangan bebas seluas 18.37 ekar di Templer, Rawang (Selangor) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan sebanyak RM313 juta.
Projek tersebut terdiri daripada 118 rumah berkembar, 37 lot banglo, dan lima lot kedai, kata pemaju hartanah itu dalam pemfailan ke Bursa Malaysia.
Di bawah perjanjian usaha sama (JV), pemilik tanah, Lecca Properties (M) Sdn. Bhd., mempunyai hak minimum sebanyak RM45 juta untuk kerjasama dengan pemaju, menurut OCR Group.
Kumpulan itu mencatatkan lonjakan dalam keuntungan bersihnya untuk suku kedua tahun kewangan 2024 berakhir 30 Jun 2024 kepada RM2.38 juta daripada RM90,000 pada suku sama tahun kewangan sebelumnya.
Hasil Syarikat juga meningkat sebanyak 42.2 peratus kepada RM46.37 juta daripada suku kedua tahun kewangan 2023 sebanyak RM32.82 juta. – UTUSAN










