MOSCOW: Russia menubuhkan program senjata di China bagi membangunkan dan menghasilkan dron serangan jarak jauh untuk digunakan dalam perang menentang Ukraine.
Perkara itu didedahkan dua sumber daripada agensi perisikan Eropah dan dokumen yang disemak oleh Reuters.
IEMZ Kupol, anak syarikat milik firma senjata Russia, Almaz-Antey, membangunkan dan menguji penerbangan model dron baharu dikenali sebagai Garpiya-3 (G3) di China dengan bantuan pakar tempatan.
Menurut salah satu dokumen tersebut, IEMZ Kupol menghantar laporan kepada Kementerian Pertahanan Russia pada awal tahun ini yang memperincikan tugasnya.
Syarikat itu memberitahu kementerian bahawa ia mampu menghasilkan dron, termasuk G3, secara berskala besar di sebuah kilang di China, supaya senjata tersebut boleh digunakan dalam ‘operasi ketenteraan khas’ di Ukraine.
Kementerian Luar China berkata, ia tidak mengetahui mengenai projek demikian dan mendakwa Beijing mempunyai langkah kawalan ketat terhadap eksport dron atau kenderaan udara tanpa pemandu (UAV).
Menurut laporan IEMZ Kupol kepada kementerian, dron G3 boleh bergerak sekitar 2,000 kilometer dengan muatan 50 kilogram.
Sampel G3 dan beberapa model dron lain buatan China dihantar ke Kupol di Russia untuk ujian lanjut, sekali lagi dengan penglibatan pakar China, kata laporan.
Dokumen itu tidak menyatakan identiti pakar dron China yang terlibat dalam projek tersebut.
Kupol menerima penghantaran tujuh dron tentera buatan China, termasuk dua G3, di ibu pejabatnya di bandar Izhevsk, Russia, menurut dua dokumen berasingan yang dikaji oleh Reuters.
Dokumen tersebut adalah invois yang dihantar kepada Kupol oleh sebuah firma Russia yang menurut dua sumber perisikan Eropah berfungsi sebagai perantara dengan pembekal China.











