OSLO: Pihak berkuasa Norway mengeluarkan waran tangkap antarabangsa selepas seorang warganya dilaporkan hilang selepas dikaitkan dengan letupan menggunakan alat komunikasi oleh kumpulan Hezbollah.
Perkhidmatan Penyiasatan Jenayah Kebangsaan Norway (Kripos) semalam mengesahkan kepada AFP, pihaknya telah menghantar notis antarabangsa untuk memburu Rinson Jose, pengasas syarikat Norta Global yang didakwa mengimport alat tersebut dan menyalurkannya kepada Hezbollah.
Polis Oslo minggu lalu membuka siasatan terhadap dakwaan yang mengaitkan Jose dengan letupan tersebut.
Pegawai polis Oslo, Mari Elise Bunaes Myhrer berkata, pihaknya sedang memburu suspek.
Ratusan alat penggera dan walkie-talkie meletup di seluruh Lubnan minggu lalu, mengorbankan sekurang-kurangnya 39 orang dan mencederakan hampir 3,000 yang lain dalam serangan yang didakwa dilancarkan Israel.
Pihak berkuasa Bulgaria membuka siasatan selepas laman web Hungary, Telex melaporkan, syarikat Norta Global yang didaftarkan di Bulgaria, mengimport alat tersebut dan kemudian menyerahkannya kepada Hezbollah.
Agensi Keselamatan Negara Bulgaria (SANS) kemudian menafikan dakwaan tersebut, tetapi polis Oslo memaklumkan, pihaknya tetap menyiasat kemungkinan berkenaan.
Norta Global yang ditubuhkan pada April 2022 oleh Jose, tahun lalu melaporkan pendapatan sebanyak €650,000 (RM3 juta) untuk aktiviti perundingan di luar Kesatuan Eropah.
Syarikat itu memberitahu akhbar Verdens Gang minggu lalu bahawa Jose telah dalam perjalanan kerja ke luar negara sejak 17 September dan mereka tidak dapat menghubunginya.- AFP










